Pada 21 Februari 2025, Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) telah berbesar hati menerima sumbangan berupa bahan bacaan umum sebanyak 85 naskhah daripada Syarikat Penerbitan Jejak Tarbiah.
Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada usaha pihak Jejak Tarbiah dalam menyokong program khidmat masyarakat yang dijalankan oleh JPUTM. Sumbangan bahan bacaan tersebut telah diterima di hadapan Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah.
Wakil dari pihak Jejak Tarbiah yang hadir untuk menyampaikan sumbangan tersebut adalah Puan Nur Syuhadah Zolkifli, Pengurus Projek dan Acara, Puan Azni Izzatty, Pengurus Sumber Manusia, dan Puan Lyna Zulaikha, Sumber Luar Jejak Tarbiah. Sumbangan ini diterima dengan penuh penghargaan oleh Encik Azmi Khalib, wakil dari Jabatan Perpustakaan UTM.
Sumbangan bahan bacaan ini bertujuan meningkatkan akses kepada sumber pengetahuan yang berharga, di samping menyokong pendidikan serta pembangunan komuniti. Program ini turut mencerminkan nilai-nilai murni seperti kerjasama, keprihatinan, dan tanggungjawab sosial yang wajar disemai dalam masyarakat.
Keprihatinan serta komitmen Syarikat Penerbitan Jejak Tarbiah dalam menyumbangkan bahan bacaan amat dihargai, dan diharapkan usaha ini dapat diteruskan demi memastikan masyarakat terus memperoleh manfaat daripada inisiatif sebegini. Semoga program ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak usaha khidmat masyarakat yang memberi impak positif pada masa hadapan.