Pada 23 Julai 2025, Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) telah mengadakan Program Knowledge Sharing bertajuk “Hi-REd Roselle: From Lab Bench to Lifestyle” . Program yang bersiaran secara langsung melalui platform rasmi Facebook Live dan YouTube Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia ini menampilkan Ts. Dr. Siti Pauliena Binti Mohd Bohari, Pensyarah Kanan Fakulti Sains UTM, sebagai panel jemputan, manakala moderator pada sesi kali ini dikendalikan oleh Dr. Nurzila Binti Ab Latif. Perkongsian kali ini bertujuan mengetengahkan hasil penyelidikan saintifik mengenai roselle yang bukan sahaja memberi sumbangan dalam bidang akademik, tetapi turut diterjemahkan ke dalam bentuk inovasi produk yang bermanfaat kepada masyarakat.


Perkongsian ini dimulakan dengan mengetengahkan perjalanan penyelidikan roselle yang bermula sejak 2013 dengan fokus terhadap keberkesanannya menurunkan paras gula dalam darah. Kajian tersebut melalui fasa penting termasuk pemfailan paten pada tahun 2017, geran FRGS pada 2020 untuk menghasilkan formulasi nanoemulsi Glu-Cut, kelulusan paten serta kajian praklinikal pada 2022, dan seterusnya fasa prapengkomersialan pada tahun 2023 hingga 2024. Proses analisis saintifik menggunakan High Performance Liquid Chromatography (HPLC) turut membuktikan kehadiran Delphinidin-3-sambubioside, sebatian bioaktif yang berpotensi tinggi sebagai agen antidiabetik.


Seterusnya panel memaklumkan hasil daripada penemuan tersebut, beberapa produk inovatif berjaya dihasilkan, antaranya Glu-Cut Nanoemulsion yang membantu mengawal gula darah, krim luka diabetes yang menyokong penyembuhan luka, serta Hi-REd Roselle Spread iaitu jem roselle yang kaya antioksidan, kurang manis dan mesra pesakit diabetes. Produk ini telah berjaya dikomersialkan melalui UTM dan kini boleh didapati di pasaran tempatan termasuk stesen minyak Petronas UTM Skudai, Petronas Pulai Perdana serta UTM Mart, selain turut dipromosikan secara meluas melalui platform digital seperti TikTok.

Secara keseluruhannya, perkongsian ini membuktikan bahawa penyelidikan asas mampu diterjemahkan kepada produk bernilai tinggi yang memberi manfaat besar kepada masyarakat, khususnya dalam menangani isu diabetes yang kian membimbangkan. Kesimpulannya, Hi-REd Roselle bukan sekadar hasil inovasi saintifik, malah menjadi simbol bagaimana kajian berasaskan bahan semula jadi dapat menyumbang kepada gaya hidup sihat dan membuka ruang baharu dalam bidang perubatan serta pemakanan moden.