9 Ogos 2025 (SABTU) – Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) berbesar hati menerima undangan sebagai rakan strategik pasukan penyelidik FEST UTM untuk menganjurkan program khidmat masyarakat yang bertempat di Flat Taman Plentong Utama, Johor Bahru. Program ini adalah bersempena dengan penganjuran Bangsa Johor Bahagia 2.0. Bangsa Johor Bahagia merupakan salah satu manifestasi kasih sayang KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah kepada rakyat. Ia juga adalah simbol keprihatinan institusi diraja terhadap komuniti perumahan berpendapatan rendah yang memerlukan bukan sahaja pembaikan fizikal, tetapi suntikan nilai, semangat dan sokongan sosial secara holistik.


Selain itu, program ini merupakan susulan kejayaan Projek Perintis Bangsa Johor Bahagia 1.0 di Flat Kangkar Pulai, Pangsapuri Kenari, Bandar Baru Kangkar Pulai. Pelbagai aktiviti menarik telah disusun dan dirancang oleh pihak urus setia dengan melibatkan beberapa rakan strategik seperti Kerajaan Negeri Johor, Universiti Teknologi Malaysia, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Yayasan Sultan Ibrahim dan Yayasan Raja Zarith Sofiah.


Pihak Perpustakaan UTM telah menyumbang sebanyak 168 bahan bacaan pelbagai kategori (50 naskhah dari Unit Pengurusan Maklumat, 20 naskhah dari UTMRS dan 98 naskhah dari Unit Hadiah) dan 2 rak buku untuk warga komuniti Flat Plentong bagi pembangunan sudut bacaan. Sudut bacaan tersebut telah dirasmikan oleh KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. Diharapkan sumbangan bahan bacaan ini dapat memperkayakan pengetahuan, memupuk pemikiran kritis dan kreatif, serta menggalakkan amalan mencintai ilmu dalam kalangan warga komuniti Flat Plentong.