Seiring dengan UTM yang bergelar universiti penyelidikan, Perpustakaan UTM telah mengambil inisiatif untuk lebih mendekati dan mendalami keperluan para penyelidik muda melalui satu sesi forum santai dengan tema “Engaging the Researcher- Perceptions and Expectations”. Forum ini merupakan satu medium percambahan idea untuk memperkasakan hubungan dua hala antara penyelidik dan pustakawan dalam membincangkan persepsi serta keperluan penyelidik kepada Perpustakaan UTM bagi memenuhi keperluan pengajaran dan penyelidikan.

Bagi merealisasikan tujuan itu, forum ini menampilkan dua ahli panel dari kalangan penyelidik muda di bawah naungan UTMShine iaitu Prof Madya Dr. Zainul Akmar Zakaria, yang mewakili penyelidik Sains dan Teknologi, manakala Dr. Nanthakumar Loganathan, mewakili bidang Sains Sosial. Forum ini turut menampilkan Pn. Khairulbahiyah Yaakub, Ketua Bahagian Perkhidmatan Maklumat & Penyelidikan UTM selaku moderator program. Forum yang dijalankan pada 24 September 2019, jam 2.30 petang bertempat di Lobi, Bangunan PSZ JB ini merupakan salah satu program yang direncanakan sempena “Research Open Day” anjuran Perpustakaan UTM. Program ini dihadiri oleh Pustakawan UTM Johor Bahru dan juga pustakawan daripada universiti awam dan swasta di sekitar Johor Bahru.

Sebagai pembukaan, ahli panel berkongsi pengalaman mereka menggunakan perkhidmatan perpustakaan di merata dunia. Para ahli panel bersetuju bahawa secara dasarnya perkhidmatan yang diberikan oleh semua perpustakaan yang pernah dilawati adalah hampir sama namun yang membezakannya adalah persekitaran yang lebih terbuka dan fasiliti yang lebih terkini. Ahli panel turut menegaskan bahawa peranan pustakawan perantara yang menjadi penghubung di antara fakulti dan Perpustakaan perlu diperkasakan lagi. Selain itu, jaringan komunikasi juga perlu ditambah baik meliputi setiap medium seperti melalui e-mel dan media sosial, disamping mempelbagaikan aktiviti ‘engagement’ melalui jerayawara, pameran buku, pertemuan bersama fakulti dan sebagainya. Melalui cara ini, perkhidmatan dan kemudahan Perpustakaan  akan lebih ‘visible’ dan dapat menarik minat lebih ramai pengguna.

Dr. Nanthakumar Loganathan, AHIBS

 

Seterusnya, perpustakaan perlu menjadi lebih fleksibel terutama dari segi penggunaan ruang dan kemudahan. Dengan adanya ruang perpustakaan yang lebih terbuka dan santai sebagaimana konsep kafe, ianya dapat menggalakkan lebih banyak aktiviti perundingan penyelidikan dilaksanakan di Perpustakaan. Pada masa yang sama, Perpustakaan perlu kekal relevan dengan memastikan sumber-sumber rujukannya terkini dan memenuhi keperluan pembelajaran dan pengajaran.

Forum ini diakhiri dengan satu sesi pembentangan oleh En. Nicholas Pak, daripada Elsevier berkenaan peranan pustakawan dan penyelidik dalam mendepani revolusi industri 4.0. Dalam sesi ini, En. Pak berkongsi maklumat berkenaan pencapaian penyelidikan di UTM serta perkhidmatan dan ‘tools’ yang ditawarkan oleh Elsevier yang boleh digunakan oleh Pustakawan dalam tugas seharian.

Disediakan oleh Puan Syahranah A. Raqi.

Share this :