Jabatan Perpustakaan UTM dengan kerjasama Postgraduate Student Society (PGSS) telah menganjurkan Program Read & Relax Siri 7 yang disiarkan secara eksklusif menerusi Facebook dan YouTube Jabatan Perpustakaan UTM pada Khamis, 14 Mei 2026, dari jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Program berbentuk podcast santai ini diadakan sebagai platform perkongsian ilmu dan penghayatan budaya membaca dalam kalangan warga universiti menerusi kupasan bahan bacaan yang dekat dengan kehidupan masyarakat masa kini. Program tersebut turut menampilkan dua orang panelis bersama seorang moderator yang mengendalikan sesi perbincangan secara interaktif dan menarik.

Panel pertama, Muhammad Aidil Syahmi bin Hamidi, telah mengulas buku Overthinking Tapi Buat-buat OK, sebuah karya yang mengetengahkan realiti kehidupan individu yang kelihatan tenang secara luaran, namun sebenarnya sedang bergelut dengan tekanan emosi dan konflik dalaman. Kupasan yang disampaikan menyentuh isu pemikiran berlebihan atau overthinking yang sering berlaku dalam kehidupan seharian sehingga menimbulkan keresahan, tekanan emosi dan rasa tidak yakin terhadap diri sendiri. Selain itu, perkongsian tersebut turut memberi kesedaran tentang pentingnya menjaga kesihatan mental serta mengurus emosi dengan lebih baik.

Sementara itu, panel kedua, Alma Nizar, telah membincangkan buku Who Moved My Cheese? karya Spencer Johnson yang sarat dengan pengajaran berkaitan perubahan dalam kehidupan. Buku tersebut mengisahkan empat watak iaitu Sniff, Scurry, Hem dan Haw yang sentiasa mencari “keju” sebagai simbol kebahagiaan, kejayaan dan keperluan hidup. Perkongsian ini menekankan kepentingan bersikap terbuka terhadap perubahan, berani mengambil tindakan serta tidak terlalu selesa berada dalam zon selesa demi mencapai kemajuan diri.

Penganjuran Program Read & Relax Siri 7 ini dilihat berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang santai, interaktif dan bermanfaat kepada warga UTM. Program seumpama ini bukan sahaja dapat memupuk budaya membaca dan cintakan ilmu, malah turut memperkukuh kemahiran berfikir secara kritis serta menggalakkan perkongsian pandangan melalui medium digital yang lebih dekat dengan masyarakat masa kini.