KUALA LUMPUR, 18 Jun – Program BookSharing@UTMKL 2026 Siri Ke-5 telah berlangsung dengan jayanya pada 18 Jun 2026 (Khamis). Sesi kali ini menampilkan dua orang pengulas jemputan iaitu Cik Nur Azila Faliha binti Asli dan Puan Nur Nadiah binti Abd Jallil. Kedua-dua panel ini merupakan Penolong Pegawai Senibina dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), UTM Kuala Lumpur.

Program telah dikendalikan oleh Encik Mohd Azalan bin Mohd Lazim, Pembantu Pustakawan Kanan, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur selaku moderator. Sesi perkongsian dimulakan oleh panel pertama, Cik Nur Azila Faliha binti Asli denganbuku bertajuk Ikigai karya Héctor García dan Francesc Miralles.


Menurut pengulas, Ikigai merupakan sebuah karya inspiratif yang membongkar rahsia penduduk Okinawa, Jepun, dalam mencapai kehidupan yang sihat, bahagia dan berumur panjang. Buku ini mengetengahkan konsep ikigai, iaitu tujuan hidup yang memberi makna dan motivasi kepada seseorang untuk bangun setiap hari dengan penuh semangat.

Pengulas turut menjelaskan bahawa buku ini mengupas pelbagai amalan yang menyumbang kepada kesejahteraan hidup seperti kekal aktif secara fizikal, mengurus tekanan dengan baik, mengamalkan pemakanan seimbang serta memupuk hubungan sosial yang positif. Selain itu, buku ini turut membincangkan peralihan pendekatan daripada psikoanalisis yang menekankan penerokaan minda dan alam bawah sedar kepada logoterapi, iaitu pendekatan psikoterapi yang menekankan pencarian makna hidup sebagai motivasi utama manusia.

Secara keseluruhannya, buku Ikigai mendorong pembaca untuk mengenal pasti tujuan hidup masing-masing serta mengamalkan gaya hidup yang seimbang sebagai kunci kepada kebahagiaan, kesejahteraan dan umur yang lebih panjang. Sebagai penutup perkongsiannya, Cik Nur Azila menegaskan bahawa “hidup menjadi lebih bermakna apabila kita tahu tujuan, faham keutamaan, dan bergerak selari dengan ikigai.”


Sesi perkongsian diteruskan oleh Puan Nur Nadiah binti Abd Jallil yang telah mengulas buku Rich Dad Poor Dad karya Robert T. Kiyosaki. Menurut beliau, buku ini mengisahkan pengalaman penulis yang dibentuk oleh dua figura bapa dengan pandangan yang berbeza terhadap wang, pekerjaan dan kekayaan. Melalui perbandingan antara “Rich Dad” dan “Poor Dad”, penulis memperkenalkan prinsip pengurusan kewangan yang lebih berkesan serta kepentingan membina aset sebagai sumber pendapatan.

Antara pengajaran utama yang diketengahkan dalam buku ini ialah kepentingan memahami perbezaan antara aset dan liabiliti, meningkatkan tahap pendidikan kewangan serta membina sumber pendapatan pasif bagi mencapai kebebasan kewangan. Buku ini juga menggalakkan pembaca untuk mengubah cara berfikir tentang wang dan mengambil langkah yang lebih proaktif dalam merancang masa depan kewangan mereka. Dalam perkongsiannya, Puan Nur Nadiah turut mengingatkan para peserta bahawa “jangan takut untuk mengambil risiko yang dikira” kerana keberanian membuat keputusan yang bijak merupakan antara faktor penting dalam mencapai kejayaan kewangan.

Secara keseluruhannya, kedua-dua buku yang dikongsikan telah memberikan inspirasi serta panduan yang bermanfaat kepada para peserta, sama ada dalam aspek pembangunan diri mahupun pengurusan kewangan. Program ini diharapkan dapat terus memupuk budaya membaca dan perkongsian ilmu dalam kalangan warga UTM Kuala Lumpur.

Share this :
UTM Open Day