Program BookSharing@UTMKL 2026 Siri Ke-6 telah berlangsung dengan jayanya pada 16 Julai 2026 (Khamis). Sesi ini menampilkan dua orang pengulas jemputan iaitu Dr. Siti Nur Khadijah Aishah binti Ibrahim dan Ts. Dr. Liyana ‘Adilla binti Burhanuddin, Pensyarah Kanan dari Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), UTM Kuala Lumpur. Program telah dikendalikan oleh Puan Norfamieza binti Mohamed Fayli, Pembantu Pustakawan, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur, selaku moderator.

Sesi perkongsian dimulakan oleh Dr. Siti Nur Khadijah Aishah yang mengulas buku The Courage to Teach karya Parker J. Palmer. Buku ini mengupas makna sebenar menjadi seorang pendidik serta keberanian yang diperlukan dalam mendidik. Palmer menegaskan bahawa pengajaran yang berkesan bukan hanya bergantung kepada teknik, malah dipengaruhi oleh identiti, integriti dan keikhlasan seorang pendidik. Beliau turut menekankan tiga persoalan penting dalam pendidikan, iaitu apa yang diajar, bagaimana cara mengajar dan kepada siapa ilmu itu disampaikan. Selain itu, buku ini mengetengahkan kepentingan mewujudkan budaya sokongan serta persekitaran pembelajaran yang positif dalam melahirkan pendidik yang berani dan berjiwa besar.

Secara keseluruhan buku The Courage to Teach memberi inspirasi kepada para pendidik untuk mengajar dengan penuh keberanian, keikhlasan dan sentiasa berpegang teguh pada tujuan asal memilih profesion perguruan.

Sesi diteruskan oleh Ts. Dr. Liyana ‘Adilla yang mengulas buku The Comfort Book karya Matt Haig. Menurut pengulas, buku ini menghimpunkan pelbagai renungan, kisah pendek dan peringatan yang mampu memberikan ketenangan kepada pembaca ketika berdepan cabaran hidup. Antara intipati yang dikongsikan ialah kepentingan untuk terus melangkah walaupun dengan langkah yang kecil, menghargai perkara-perkara sederhana, menjaga kesihatan mental serta tidak mudah dipengaruhi oleh fikiran negatif. Beliau turut menjelaskan bahawa kecerdasan buatan (AI) boleh dimanfaatkan sebagai alat sokongan, namun ketenangan dan nilai kemanusiaan tetap perlu dipelihara oleh setiap individu.

Melalui buku ini, The Comfort Book mengingatkan kita bahawa hidup kadangkala sukar, namun kita mampu menghadapinya dengan kelembutan, kebijaksanaan dan harapan.
Secara keseluruhannya, kedua-dua buku yang dikongsikan membawa mesej yang saling melengkapi, iaitu kepentingan membina kekuatan diri, nilai kemanusiaan dan kesejahteraan dalam kehidupan serta kerjaya. Program ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu dan bahan bacaan yang bermanfaat, malah turut berjaya menyemarakkan budaya membaca, memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat serta menggalakkan warga UTM berkongsi pandangan dan pengalaman melalui buku sebagai medium pembangunan diri dan profesional.