KUALA LUMPUR, 29 Julai 2026 – Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) melalui Library XChange Hub (LXH) dengan kerjasama Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) telah berjaya menganjurkan Program Persona Profesional: Keterampilan Diri untuk Keyakinan, Kredibiliti dan Kerjaya yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Program yang disampaikan oleh Puan Mazlina Ali, Perunding Latihan HRD Corp dan Pakar Imej Profesional serta Etiket Korporat, telah disertai 15 orang peserta daripada luar UTM yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Penganjuran program ini membuktikan peranan Library XChange Hub sebagai platform pembelajaran sepanjang hayat yang terbuka kepada komuniti luar selain warga universiti.

Pendekatan pembelajaran yang menggabungkan sesi teori, demonstrasi dan aktiviti interaktif telah memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih praktikal kepada peserta. Mereka berpeluang memahami teknik penampilan profesional yang sesuai dengan personaliti masing-masing serta kepentingan membina imej positif dalam kehidupan seharian dan dunia pekerjaan.

Kerjasama strategik antara Perpustakaan UTMKL dan FSSH ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara PTJ, malah menyokong aspirasi universiti dalam memperluaskan akses kepada ilmu, latihan profesional dan pembangunan komuniti. Program ini turut menyerlahkan fungsi Library XChange Hub sebagai ruang pembelajaran dinamik yang menyediakan pelbagai program berimpak tinggi kepada masyarakat.

Sepanjang program, peserta didedahkan kepada pelbagai aspek pembangunan imej profesional merangkumi First Impression dan Personal Branding, Personal Image Management, Basic Personal Colour Analysis, Skincare, Basic Makeup & Hijab Styling Techniques, serta Deportment, Poise & Posture. Peserta turut memperoleh panduan berkaitan komunikasi profesional dan etika penampilan bagi meningkatkan keyakinan diri dalam persekitaran kerjaya.

Perpustakaan UTMKL komited untuk terus menganjurkan program pembangunan kompetensi dan pembelajaran sepanjang hayat yang memberi manfaat kepada warga universiti serta komuniti luar, selaras dengan aspirasi UTM Ascend 2030 dalam melahirkan masyarakat berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.



Share this :
UTM Open Day