KUALA LUMPUR, 30 Julai 2026 – Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (PUTMKL) telah menganjurkan Program UTM Library On Air dengan kolaborasi bersama Institut Sultan Iskandar (ISI) pada 30 Julai 2026 (Khamis).

Program kali ini mengetengahkan topik ‘’Data Berasaskan AI Ke Arah Ketelusan Pelaporan Dan Etika Alam Sekitar’’. Program yang disiarkan secara eksklusif menerusi platform Facebook dan YouTube UTM Library Kuala Lumpur ini menampilkan Dr. Shazwin Mat Taib yang merupakan Pensyarah Kanan dari Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Pakar AI CAIRO UTM dan Felo Pakar: Institut Sultan Iskandar (ISI), UTM sebagai panel jemputan. Sesi ini dikendalikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Wan Nurul Mardiah Wan Mohd Rani, Timbalan Pengarah Institut Sultan Iskandar (ISI) selaku moderator. 

Perbincangan memberi fokus kepada peranan kecerdasan buatan (AI), khususnya Generative AI, yang kini semakin meluas digunakan untuk membantu proses pengurusan, analisis dan meningkatkan kualiti data. Namun demikian, penggunaan AI tidak bermaksud sesuatu laporan itu secara automatik menjadi tepat, telus dan berkualiti. 

Menurut Dr. Shazwin, AI hanya mampu menghasilkan maklumat yang berkualiti apabila disokong oleh data yang tepat, semakan yang teliti serta penglibatan manusia. Beliau turut menegaskan bahawa risiko seperti AI hallucination, penyebaran maklumat yang tidak disemak dan isu kerahsiaan data menunjukkan penggunaan AI perlu disertai dengan literasi digital serta pengendalian maklumat yang bertanggungjawab bagi memastikan hasil yang sahih, beretika dan boleh dipercayai. 

Perbincangan turut menyentuh peranan AI dalam menyokong kelestarian alam sekitar melalui keupayaannya mengenal pasti corak, meramalkan risiko dan membantu proses membuat keputusan. Namun, teknologi semata-mata tidak mampu menjamin integriti. Sebaliknya, ketelusan pelaporan memerlukan data yang berkualiti, tadbir urus yang mantap, proses semakan yang teliti serta komitmen setiap individu untuk bertindak secara jujur, beretika dan bertanggungjawab. 

Menjawab persoalan mengenai perkembangan bidang kelestarian dari aspek akademik serta potensinya sebagai laluan kerjaya strategik dalam menjamin kelestarian alam dan mengekalkan biodiversiti, Dr. Shazwin menjelaskan bahawa bidang ini semakin relevan, khususnya dengan perkembangan teknologi AI. Beliau menegaskan bahawa penggunaan AI tetap memerlukan input data yang tepat serta kemahiran dan peranan setiap individu dalam memastikan data diurus secara jujur, telus dan bertanggungjawab bagi menyokong usaha memelihara kelestarian bumi yang kini berdepan pelbagai risiko dan cabaran. 

Secara keseluruhannya, Program UTM Library On Air anjuran bersama Institut Sultan Iskandar (ISI) berjaya menjadi platform perkongsian ilmu dalam meningkatkan kefahaman mengenai peranan kecerdasan buatan (AI) ke arah pelaporan yang lebih telus dan beretika. Program ini turut menegaskan bahawa AI mampu menjadi  pemangkin inovasi dan kecekapan, namun integriti, akauntabiliti dan etika tetap bergantung kepada manusia. Penggunaan AI secara bertanggungjawab mampu menyokong pelaporan yang lebih telus serta pembangunan mampan.

 

Share this :
UTM Open Day