JOHOR BAHRU, 17 Ogos 2026 – Pameran Fotografi Ahmad Perang: Meluru Laju di Rel Waktu yang diadakan semasa dengan Program Telaah Siri 7/2026 bersempena dengan Bulan Kebangsaan ke-69 telah berlangsung di Ruang Terbuka, Aras 1, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru.

Program anjuran Jabatan Perpustakaan, Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) ini merupakan antara usaha perpustakaan dalam mengetengahkan tokoh serta khazanah sejarah negara kepada warga universiti dan masyarakat umum melalui pendekatan perkongsian ilmu dan pameran bahan bersejarah.

Pameran ini mengetengahkan perjalanan hidup, khidmat bakti dan legasi Allahyarham Tan Sri Dato’ Ahmad bin Perang, atau lebih mesra dikenali sebagai Tok Mat Perang, yang merupakan tokoh pentadbir dalam Kerajaan Johor dan Kerajaan Persekutuan.

Tan Sri Dato’ Ahmad Perang memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dalam Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (PTNJ) atau Johor Civil Service (J.C.S.). Beliau kemudiannya dipinjamkan kepada Perkhidmatan Awam Persekutuan sebelum dilantik sebagai Pengerusi Rural Industrial Development Authority (RIDA) yang ketiga.

Pada tahun 1961, beliau mencatat sejarah negara apabila menjadi warganegara pertama yang dilantik sebagai Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu (KTM). Selepas bersara, beliau terus diberikan kepercayaan oleh Kerajaan Persekutuan untuk berkhidmat sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya yang kedua.

Pameran fotografi ini menghimpunkan foto terpilih yang merakam pelbagai pengalaman, peristiwa dan hubungan yang membentuk perjalanan kerjaya beliau merentasi perubahan zaman. Setiap foto bukan sahaja menjadi catatan visual, malah turut menjadi saksi kepada perkembangan pentadbiran, kepimpinan dan sejarah negara.

Penganjuran pameran ini bersekali dengan Program Telaah Siri 7/2026 turut memberikan nilai tambah kepada pengunjung untuk mengenali dengan lebih dekat kandungan buku Ahmad Perang: Meluru Laju di Rel Waktu, selain memahami sosok di sebalik nama besar yang telah memberikan sumbangan penting kepada perkhidmatan awam, pengangkutan dan pentadbiran negara.