JOHOR BAHRU, 24 September – Program Read & Relax yang dianjurkan oleh Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia bagi Siri ke-14 ini telah dikendalikan oleh Encik Mohd Farizal daripada Penerbit UTM Press dengan menampilkan dua orang penceramah iaitu Dr. Mohd Firdaus Akmal Bin Azman, Pengarah, Pusat Kesihatan Universiti UTM Johor Bahr dan Dr. Noor Hafizah Zaihanah Binti Mohd Nur, Pegawai Perubatan, Pusat Kesihatan Universiti UTM Johor Bahru.

Dr. Mohd Firdaus Akmal Bin Azman memulakan perkongsian dengan mengulas karya Michael Harris, The End of Absence. Menurut beliau, generasi yang lahir sekitar tahun 1980-an hingga awal 1990-an berada dalam kedudukan yang cukup unik kerana sempat melalui dua dunia iaitu kehidupan sebelum internet dan kehidupan selepas internet yang menjadi sebahagian daripada rutin harian.

Perkembangan pesat teknologi maklumat dan budaya hyper-connectivity sedikit sebanyak telah mengubah cara manusia menjalani kehidupan. Ruang untuk menikmati ketenangan dan bersendirian, yang suatu ketika dahulu memberi peluang untuk berfikir dan merenung secara mendalam, kini semakin berkurang. Dalam dunia yang sentiasa terhubung, hubungan sesama manusia juga berisiko menjadi lebih cetek (superficial). Pada masa yang sama, lambakan pandangan di media sosial turut menjadikan suara pakar semakin mudah dipertikaikan atau tenggelam dalam arus pendapat umum.

Melalui buku ini, pembaca didorong untuk berhenti sejenak, merenung dan menilai semula hubungan mereka dengan dunia digital. Persoalan utama ialah bagaimana kita boleh terus bergerak seiring dengan perkembangan teknologi yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian, tanpa kehilangan ruang untuk berfikir, mengenali diri dan mempertahankan jati diri.

Dr. Noor Hafizah Zaihanah Binti Mohd Nur mengupas buku Mencari Ketenangan di Tengah Kesibukan terbitan ProU Media yang memberi tumpuan kepada aspek kejiwaan dan spiritual. Dalam dunia yang bergerak semakin pantas, manusia mudah terdedah kepada keresahan (anxiety) dan rangsangan berlebihan (hyper-stimulation). Justeru, buku ini hadir sebagai peringatan supaya kita sesekali berhenti sejenak daripada kesibukan dan menilai kembali arah kehidupan.

Beliau menekankan bahawa kehidupan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada usaha mengejar harta, pangkat dan kejayaan duniawi. Sebaliknya, keseimbangan perlu dicari dengan menghayati semula makna di sebalik amalan harian seperti solat, zikir dan zakat, agar amalan tersebut bukan sekadar menjadi rutin tetapi benar-benar memberi kesan kepada jiwa dan kehidupan.

Antara perkara utama yang diketengahkan melalui ulasan ini ialah pentingnya mensyukuri nikmat-nikmat kecil yang sering kita anggap biasa. Nikmat seperti dapat melihat, bergerak dengan sihat dan menjalani kehidupan seharian mungkin kelihatan sederhana, namun nilainya sering hanya benar-benar disedari apabila nikmat tersebut berkurang atau tiada lagi. Kesedaran inilah yang boleh membantu seseorang menghargai kehidupan dengan lebih mendalam dan menemukan ketenangan di tengah-tengah kesibukan.

Kesimpulannya, kedua-dua buku yang dibincangkan membawa perspektif yang berbeza, namun saling melengkapi dalam memahami cabaran kehidupan masa kini. Jika The End of Absence mengajak pembaca menilai semula kesan perkembangan teknologi dan dunia yang sentiasa terhubung, Mencari Ketenangan di Tengah Kesibukan pula memberi penekanan kepada aspek rohani, kesyukuran dan muhasabah diri.

Daripada kedua-dua perbincangan ini, dapat dilihat bahawa ketenangan bukan sekadar datang daripada keadaan sekeliling, tetapi juga daripada cara seseorang mengurus kehidupan dan dirinya sendiri. Ketenangan dapat dibina apabila manusia belajar menerima ketentuan, menghargai nikmat yang dimiliki dan pada masa yang sama lebih bijak menetapkan batas dalam penggunaan teknologi. Dengan keseimbangan ini, manusia bukan sahaja mampu menyesuaikan diri dengan tuntutan dunia moden, tetapi juga dapat menjalani kehidupan dengan lebih sedar, bermakna dan tenang.

Share this :
UTM Open Day