JOHOR BAHRU, 25 September – Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Telaah Siri 8/2026 yang membawakan tajuk Umdat Al-Muhtajin Ila Suluk Maslak Al-Mufridin pada 25 September 2026 (Jumaat), bertempat di Bilik Seminar 1, Aras 3, Blok D05, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), UTM.

Program yang berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini menampilkan Prof. Dr. Arieff Salleh bin Rosman, Dekan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM, sebagai panel jemputan. Sesi perkongsian ini dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Adibah binti Abdul Latif, Ketua Jabatan, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, UTM, selaku moderator.

Program ini merupakan salah satu inisiatif pembudayaan ilmu melalui aktiviti telaah yang memberi ruang kepada warga universiti untuk mendalami karya ilmiah, khususnya karya manuskrip Alam Melayu yang mempunyai nilai sejarah, keagamaan, intelektual dan ketamadunan.

Pemilihan karya ‘Umdat al-Muhtajin ila Suluk Maslak al-Mufridin amat signifikan kerana karya tersebut merupakan antara sumber penting dalam memahami tradisi pendidikan kerohanian masyarakat Islam di Alam Melayu. Penulisan Prof. Dr. Arieff Salleh Rosman bersama para penyelidik turut menjadikan karya ini sebagai rujukan dalam membincangkan amalan kerohanian, sanad ilmu dan pendekatan tarbiyyah ruhiyyah dalam tradisi Islam Alam Melayu.

Sesi dimulakan dengan pengenalan terhadap karya ‘Umdat al-Muhtajin ila Suluk Maslak al-Mufridin yang dikarang oleh Shaykh Abdul Rauf al-Singkili, seorang ulama besar Alam Melayu yang mempunyai hubungan keilmuan dengan tradisi ulama di Aceh, Madinah dan Haramayn. Karya tersebut merupakan panduan berkaitan perjalanan rohani dan pendidikan kerohanian yang menghimpunkan aspek ilmu, amalan, adab, zikir serta bimbingan guru dalam perjalanan seseorang menuju keredaan Allah SWT. Menurut kajian Prof. Dr. Arieff Salleh Rosman dan para penyelidik, ‘Umdat al-Muhtajin merupakan antara karya penting yang merekodkan tradisi pendidikan rohani masyarakat Alam Melayu serta memperlihatkan hubungan keilmuan yang berkesinambungan antara ulama Alam Melayu dengan ulama di Haramayn.

Seterusnya, sesi turut menekankan kepentingan manuskrip sebagai sumber primer yang dapat membantu masyarakat memahami sejarah perkembangan ilmu Islam di Alam Melayu. Manuskrip bukan sekadar bahan tulisan lama, bahkan merupakan rakaman pemikiran, keilmuan, tradisi pendidikan dan amalan masyarakat pada sesuatu zaman. Dalam konteks ‘Umdat al-Muhtajin, kandungan manuskrip memperlihatkan bagaimana ilmu agama, akidah, fekah dan tasawuf saling berkaitan dalam membentuk kehidupan dan peribadi seorang Muslim. Hal ini selari dengan kajian Prof. Dr. Arieff Salleh Rosman yang menghuraikan bahawa tradisi kerohanian Alam Melayu dibangunkan berasaskan ilmu akidah, fekah dan tasawuf dalam kerangka Ahli Sunah Waljamaah.

Selain itu, antara perkara utama yang diketengahkan ialah konsep tarbiyyah ruhiyyah, iaitu pendidikan dan pembinaan rohani seseorang secara berterusan. Berdasarkan penelitian terhadap ‘Umdat al-Muhtajin, pendidikan kerohanian merangkumi beberapa unsur penting, antaranya ilmu, guru mursyid, adab dan zikir. Keempat-empat unsur ini saling melengkapi dalam membentuk insan yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan agama, tetapi turut mampu menghayati ilmu tersebut melalui amalan dan pembentukan akhlak. Perjalanan rohani tidak seharusnya dilihat hanya sebagai amalan kerohanian semata-mata, sebaliknya perlu diasaskan kepada ilmu yang benar. Dalam karya ‘Umdat al-Muhtajin, ilmu akidah diberikan perhatian sebagai antara ilmu asas yang perlu dikuasai oleh seseorang yang menempuh perjalanan rohani. Hal ini menunjukkan bahawa pembinaan rohani tidak dapat dipisahkan daripada penguasaan ilmu agama. Ilmu menjadi panduan supaya amalan yang dilakukan mempunyai asas yang benar serta tidak terkeluar daripada kerangka syariat.

Sesi turut memberi penekanan terhadap kepentingan guru dalam proses pendidikan rohani. Dalam tradisi keilmuan yang dibincangkan melalui ‘Umdat al-Muhtajin, perjalanan rohani memerlukan bimbingan dan panduan guru yang mempunyai kelayakan serta amanah ilmu. Antara petikan yang direkodkan dalam kajian berkaitan karya tersebut ialah: “Maka sekalian yang tersebut ini (jalan rohani) berkehendak kepada isyarat guru jua. Maka barang siapa tiada berguru maka iaitu syaitan akan gurunya.”

Petikan tersebut ialah ungkapan yang dinukilkan daripada Shaykh Abdul Rauf al-Singkili dalam ‘Umdat al-Muhtajin dan dibincangkan dalam kajian berkaitan manhaj tarekat rohani. Petikan ini memperlihatkan betapa pentingnya bimbingan guru dalam memastikan perjalanan kerohanian seseorang berlangsung dalam landasan ilmu dan disiplin yang betul. Perbincangan juga menekankan bahawa ilmu perlu diterjemahkan melalui pengamalan dan pembentukan adab.

Dalam konteks ini, pendidikan rohani bukan sekadar memperoleh pengetahuan, tetapi melibatkan proses mendidik jiwa agar seseorang mampu menghayati nilai keagamaan dalam kehidupan seharian. Antara aspek yang turut mendapat perhatian ialah amalan zikir sebagai salah satu bentuk pendidikan kerohanian. Kajian Prof. Dr. Arieff Salleh Rosman terhadap ‘Umdat al-Muhtajin turut membincangkan amalan zikir selepas solat fardu serta bacaan Yasin dan tahlil yang mempunyai sandaran dalam tradisi keilmuan masyarakat Alam Melayu. Menurut kajian tersebut, amalan kerohanian yang berkembang dalam masyarakat Alam Melayu perlu dilihat berdasarkan sumber, sanad, konteks serta huraian ulama muktabar dan tidak hanya dinilai berdasarkan persepsi semata-mata.

Secara keseluruhannya, Program Telaah Siri 8/2026 telah memberikan pendedahan yang bermakna kepada peserta mengenai karya ‘Umdat al-Muhtajin ila Suluk Maslak al-Mufridin serta kepentingannya dalam memahami tradisi keilmuan dan pendidikan kerohanian masyarakat Alam Melayu. Perbincangan yang dikemukakan memperlihatkan bahawa karya tersebut bukan sahaja mempunyai nilai dari sudut keagamaan, bahkan turut mempunyai nilai sejarah, intelektual, kebudayaan dan ketamadunan. Karya ini juga memperlihatkan bagaimana ulama Alam Melayu membina tradisi keilmuan yang menghubungkan aspek akidah, fekah, tasawuf, adab, zikir dan pendidikan rohani dalam membentuk kehidupan masyarakat Islam.

Sehubungan itu, usaha memperkenalkan manuskrip dan karya klasik Alam Melayu melalui program telaah, wacana dan perkongsian ilmu wajar diteruskan bagi memastikan khazanah intelektual tersebut terus dikenali, difahami dan dimanfaatkan oleh generasi masa kini dan akan datang. Program ini turut memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu, pembudayaan membaca dan pemeliharaan khazanah intelektual, selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan masyarakat berilmu dan berbudaya ilmu.

Share this :
UTM Open Day