KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Perpustakaan UTM Kuala Lumpur telah menganjurkan sesi Program Imbasan Majlis Bersama Naib Canselor UTM bertempat di Event Space, Aras 2, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur. Program ini mengupas peranan akademia dalam memperkukuh reputasi universiti melalui penyelidikan, inovasi, jaringan kerjasama dan impak kepada masyarakat yang menjadi tema kepada Majlis Bersama Naib Canselor UTM.

Sesi ini menampilkan YBrs. Prof. Ir. Ts. Dr. Shreeshivadasan A/l Chelliapan, Profesor, Fakulti Kecerdasan Buatan, UTM Kuala Lumpur dan YBrs. Ir. Dr. Hazilah Binti Mad Kaidi, Pensyarah Kanan, Fakulti Kecerdasan Buatan, UTM Kuala Lumpur sebagai panel, manakala YBrs. Dr. Mohd Fadthul Ikmal Misnal, Penolong Pendaftar, Jabatan Canseleri, UTM Johor Bahru bertindak sebagai moderator.

Perbincangan mengetengahkan pandangan bahawa peranan ahli akademik tidak seharusnya terhenti pada penghasilan ilmu dan penerbitan semata-mata. Sebaliknya, hasil penyelidikan perlu diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi kesan secara nyata kepada dasar, industri dan masyarakat. Antara pendekatan yang dibincangkan ialah keperluan melibatkan pembuat dasar, industri dan komuniti sejak peringkat awal penyelidikan supaya kajian yang dilaksanakan benar-benar menjawab keutamaan dan permasalahan sebenar.

Aspek keterangkuman turut diberi perhatian menerusi perbincangan tentang bagaimana inovasi seperti kecerdasan buatan, Internet of Things (IoT) dan teknologi pintar dapat dimanfaatkan oleh kelompok masyarakat yang lebih luas. Akademia perlu memahami kemampuan kewangan, tahap kemahiran dan keadaan infrastruktur komuniti, selain memastikan teknologi yang dibangunkan mudah digunakan, mampu dimiliki serta disokong dengan latihan dan bimbingan yang berterusan.

Turut disentuh ialah kepentingan integriti ilmu dalam memastikan akademia terus menjadi sumber rujukan yang bebas dan berwibawa. Ahli akademik perlu berpegang kepada bukti penyelidikan, menyampaikan dapatan secara objektif serta pada masa yang sama membuka ruang dialog dengan pihak berkepentingan. Pendekatan yang tegas terhadap bukti tetapi berhemah dalam komunikasi dilihat penting bagi memastikan pembangunan dan penyelesaian dapat dilaksanakan secara lebih bertanggungjawab.

Dalam konteks inovasi pula, kejayaan tidak seharusnya diukur hanya melalui pencapaian di makmal atau pertandingan. Sebaliknya, inovasi perlu diuji dalam keadaan sebenar, ditambah baik berdasarkan pengalaman pengguna dan dirancang agar dapat terus dimanfaatkan selepas tempoh penyelidikan atau geran berakhir. Kerjasama dengan industri, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan turut dilihat sebagai antara faktor penting bagi menyokong perluasan penggunaan, penyelenggaraan dan kelangsungan sesuatu inovasi.
Selain reputasi institusi, kewibawaan seseorang ahli akademik turut memainkan peranan penting. Mutu dan integriti penyelidikan, jaringan profesional serta keupayaan menukarkan pengiktirafan individu kepada peluang kerjasama, pembangunan bakat dan manfaat bersama merupakan antara elemen yang menyumbang kepada kepercayaan terhadap UTM sebagai sebuah institusi ilmu.

Bersempena Bulan Akademia pada Oktober, program ini turut menjadi ruang refleksi terhadap tanggungjawab warga akademik dalam memastikan ilmu yang dihasilkan bukan sahaja berkualiti, tetapi juga relevan, boleh dimanfaatkan dan memberi perubahan kepada masyarakat. Dalam usaha UTM terus memainkan peranan sebagai global player, kekuatan universiti juga bergantung pada keupayaan seluruh warganya menjadi team player yang bergerak bersama dalam membina pengalaman terbaik untuk pelajar, industri, komuniti dan pemegang taruh.
Penganjuran sesi ini memperlihatkan komitmen Perpustakaan UTM Kuala Lumpur sebagai ruang perkongsian ilmu dan wacana yang menyokong agenda universiti, khususnya dalam memperkukuh budaya akademia berimpak, kolaboratif dan berorientasikan masyarakat.