Sesi Read & Relax Siri 2/2019 di Perpustakaan UTM Johor Bahru telah dijalankan pada 24 Januari 2019 di Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah. Sesi kali ini menampilkan tiga orang pengulas iaitu En. Hasbullah Jalil, En. Wan Jamal Mohd Arif, dan Puan Khairulbahiyah Yaakub.

En. Hasbullah Jalil mengulas artikel berkaitan perkara asas editing video

Pengulas pertama iaitu En. Hasbullah Jalil, Pembantu Pustakawan, Jabatan Perpustakaan UTM telah berkongsi tentang bahan bacaan yang diperolehinya daripada artikel sebuah blog hasil karya Fariz Izhan yang berkaitan tentang perkara asas editing video. Menurut pengulas, hasil dari pembacaannya, artikel ini menceritakan tentang proses-proses asas editing video dan penggunaan perisian yang sesuai bagi menghasilkan video yang berkualiti dan cantik. Ia merupakan satu maklumat yang sangat bermanfaat terutamanya kepada individu yang terlibat dalam bidang Multimedia dan Publisiti. Bahan ini membantu pengulas dalam mengetahui dan mendalami ilmu-ilmu asas penghasilan video dan menjadi sebagai sumber rujukan kepada pengulas. Selain daripada itu, ia juga membantu meningkatkan kemahiran pengulas dalam menghasilkan video yang terbaik seterusnya menanam minat pengulas untuk bercita-cita mempunyai production house sendiri. Selain daripada itu, pengulas turut berkongsi bahawa kemahiran (editing video) adalah lebih mudah dipelajari dan difahami sekiranya seseorang mempunyai minat yang mendalam dan berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan bagi meningkatkan kemahiran dalam penghasilan video yang terbaik. Penulisan santai daripada artikel ini dengan bahasa-bahasa yang ringkas dan tidak formal memudahkan kepada mereka yang baru mula mengorak langkah dalam mencari ilmu baru tentang proses-proses terlibat dalam penghasilan sesuatu video.

En. Wan Jamal Mohd Arif mengulas tentang sebuah buku bertajuk Panduan Mudah Fotografi : Teori Dan Aplikasi Fotografi

Pengulas kedua pula iaitu En. Wan Jamal Mohd Arif, Jurufotografi, Perpustakaan UTM berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Panduan Mudah Fotografi : Teori Dan Aplikasi Fotografi karya Yulian Ardiansyah. Buku ini merupakan koleksi peribadi pengulas. Buku ini menceritakan tentang pengetahuan asas panduan belajar fotografi secara teori dan aplikasi kepada individu yang berminat mandalami ilmu fotografi. Maklumat yang dibincangkan adalah bermula dengan mengenali kamera, filem sehingga masalah yang sering dihadapi seperti pengambilan sudut gambar, pencahayaan dan warna. Maklumat yang dikongsikan melalui buku ini sedikit sebanyak telah meningkatkan kemahiran pengulas dalam menghasilkan foto yang menarik dan berkualiti. Seni fotografi ini merupakan suatu sumber pengetahuan yang begitu bernilai bagi seseorang ahli fotografi dimana ianya mampu memberi nilai tambah kepada diri sendiri dan penonton. Disamping itu ianya mampu menjana pendapatan melalui sesi-sesi fotografi yang diambil.

Puan Khairulbahiyah Yaakub mengulas sebuah artikel yang bertajuk The Daily Digital Practice as a Form of Self-care: Using Photography for Everyday Well Being

Pengulas ketiga iaitu Puan Khairulbahiyah Yaakub telah berkongsi sebuah artikel yang bertajuk The Daily Digital Practice as a Form of Self-care: Using Photography for Everyday Well Being karya Liz Brewster dan Andrew M Cox. Artikel ini diperoleh daripada sebuah jurnal yang berkaitan dengan dunia fotografi. Pengulas telah menceritakan tentang kandungan artikel yang membincangkan tentang kajian bagaimana praktis digital melalui aktiviti fotografi dapat memberi kepuasan dan kebahagiaan kepada diri individu serta komuniti. Secara dasarnya, Photo a day melibatkan aktiviti senaman, fotografi, menulis seterusnya memuat naik gambar ke internet. Tanpa sedar aktiviti harian ini memberikan banyak manfaat kepada orang ramai serta membantu memperbaiki tahap kesejahteraan hidup. Berdasarkan kajian dan pemerhatian yang dilakukan, penulis meyakini bahawa kesan daripada aktiviti fotografi harian ini memberikan banyak kesan positif kepada diri setiap individu. Bukan sahaja untuk jangka masa pendek malah turut memberikan impak yang baik pada jangka masa panjang. Melalui keceriaan warna dan aksi-aksi daripada foto yang diambil, individu dapat melupakan memori-memori sedih yang pernah dilalui dahulu. Aktiviti fotografi memberikan ruang dan peluang untuk bertemu kenalan baharu melalui melalui gambar-gambar yang dikongsi di internet. Gambar-gambar tersebut mewujudkan satu dimensi baharu kepada komuniti untuk saling berkongsi minat dan bertukar pandangan mengenai kehidupan. Interaksi sosial seperti ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan perasaan sunyi dan emosi sedih individu berkaitan sesuatu perkara. Selain daripada itu, pengulas turut menyatakan setiap foto yang diambil dengan dimasukkan caption merupakan suatu bentuk komunikasi naratif bersama pengguna maya lain. Setiap caption yang ditulis membantu individu untuk lebih fokus kepada sesuatu perkara. Selain itu, komentar daripada pengguna-pengguna maya lain pada foto tersebut mampu menghasilkan suatu bentuk komunikasi sosial yang sangat menarik dan mengembirakan.

Share this :