Pada 23 Julai 2020 (Khamis), Program Book Sharing Siri 11 telah diteruskan dengan sedikit kelainan iaitu bersiaran secara langsung dari Facebook UTM Library Kuala Lumpur (KL) dan berlatar belakangkan ruang New Books Display. Dua orang staf iaitu Puan Nuridzati Binti Mohd Noh, Penolong Pegawai Tadbir, UTM KL dan Puan Suzila Binti Mat Yassin, Penolong Pegawai Keselamatan, UTM KL adalah merupakan pengulas bagi siri ini.

Puan Nuridzati Binti Mohd Noh mengulas buku bertajuk Diet-licious

Pengulas pertama iaitu Puan Nuridzati Binti Mohd Noh berkongsi buku Diet-licious yang ditulis oleh Ruqayyah Muhd, Hakim Zakaria dan M.H. Nizam. Menurut beliau, buku Diet-Licious adalah kisah tiga orang dietician (pakar pemakanan) dalam berdepan pelbagai kerenah pesakit yang mempunyai pelbagai penyakit yang memerlukan pantauan pemakanan. Oleh itu, tugasan mereka ini sangat mencabar kerana memerlukan kesabaran yang tinggi untuk berhadapan dengan pelbagai karenah mereka.

Bukan itu sahaja, yang menariknya buku ini adalah kerana ia menerangkan juga tentang obesiti di kalangan kanak-kanak serta cara dan aktiviti yang diperlukan dalam membendung pemasalahan ini sebelum ia berlarutan selari usia kanak-kanak terbabit. Menurut pengulas, walaupun buku ditulis secara santai dan lucu, buku ini sarat dengan maklumat berkaitan nutrisi pemakanan dan sesuai untuk dijadikan bahan bacaan ringan kepada mereka yang bersedia untuk menjaga pemakanan.

Puan Suzila Binti Mat Yassin mengulas buku bertajuk Rasulullah Is My Doctor

Program diteruskan lagi dengan menjemput pengulas seterusnya iaitu Puan Suzila Binti Mat Yassin yang memilih buku bertajuk Rasulullah Is My Doctor, penulis oleh Jerry D. G. Ray. Menurut beliau, buku ini adalah berdasarkan pengalaman penulis sendiri yang berjaya sembuh dari penyakit dengan menggunakan kaedah ini. Antara yang diperincikan dalam buku ini adalah madu dan habbatussauda yang memberi manfaat kepada mereka yang mengamalkannya. Menurut penulis, buku ini diharapkan dapat memberi pengajaran dan inspirasi kepada pengamal medik dan masyarakat awam khususnya umat Islam. Menurut beliau lagi, apa yang tertulis dalam Al-Quran dan hadith adalah benar dan sempurna perisiannya. Sebelum mengakhiri perkongsian ini, penyampai mengatakan bahawa ilmu perubatan ini masih relevan bagi masyarakat moden, memandangkan tidak semua penyakit dapat disembuhkan dengan ilmu perubatan sains moden.

Share this :