Perpustakaan UTM Kuala Lumpur telah terlibat dalam Jerayawara Bersama Persatuan Alumni bersempena dengan Mesyuarat Tahunan Persatuan Alumni yang diadakan pada 22 Ogos 2020 (Sabtu).
Antara aktiviti yang telah dijalankan pada hari tersebut adalah:
1. Menyebarluas Kempen “1 Alumni 1 Book”
2. Keahlian Alumni Perpustakaan
3. Sumbangan Pelitup Muka ke Perpustakaan
Kempen “1 Alumni 1 Book” adalah satu inisiatif yang dibuat oleh perpustakaan dalam menambahkan koleksi dan memupuk semangat kekitaan antara alumni dan perpustakaan serta pelajar terutamaya dalam keterlibatan bersama menyumbang buku dan ilmu untuk kegunaan bersama. Pada hari tersebut, Profesor Dr. Mohd Zaki bin Kamsah, Pengerusi Bahagian Pemajuan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) telah sudi menyumbangkan dua buah buku untuk kempen “1 Alumni, 1 Book” sebagai tanda sokongan.
Di samping itu, pihak perpustakaan juga mengalu-alukan alumni menjadi ahli Alumni Perpustakaan dengan bayaran hanya RM10. Ahli Alumni boleh menggunakan kemudahan yang disediakan oleh Perpustakaan seperti penggunaan pangkalan data atas talian secara percuma di Perpustakaan dan meminjam sebanyak dua buah buku dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Selain itu, perpustakaan juga menerima tujuh kotak pelitup muka untuk kegunaan warga perpustakaan. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Encik Azhar bin Omar, selaku Biro Penerangan Persatuan Alumni UTM.
Terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh alumni dalam membendung wabak COVID-19. Semoga kerjasama seumpama ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang.