Program Bicara Karya ‘Dinar Emas & Dirham Perak : Menepati Keperluan Zaman’ telah diadakan pada 20 Julai 2020 menerusi aplikasi webex dan ditonton secara lansung di Facebook Perpustakaan UTM. Panel jemputan adalah Profesor Prof. Dr. Zuhaimy Bin Ismail (Adjunct), Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia.
Panel mengupas sebuah buku berjudul ‘Dinar Emas & Dirham Perak : Menepati Keperluan Zaman’ hasil tulisan beliau sendiri. Sebelum ini beliau turut menulis sebuah buku berjudul ‘Kembalinya Dinar Emas & Dirham Perak: Mata Wang Umat Islam’. Buku ini menarik untuk dibaca bukan hanya kerana maklumat mengenai dinar dan dirham, tetapi juga pencerahan mengapa dinar dan dirham ini diperlukan dalam zaman ini. Buku ini sangatlah berguna untuk masyarakat Islam khasnya dan masyarakat lain untuk mengenali wang dinar dan dirham, mengapa perlu dinar dan dirham digunakan, mengapa wang kertas itu dikatakan mengandungi riba, mengenali musuh yang dibawa oleh sistem kapitalis dan juga penggunaan sistem demokrasi dalam memilih pemimpin.
Panel mengharapkan agar komuniti di Malaysia berusaha bersama dalam penggunaan dinar dan dirham dan bukan hanya membelinya. Ianya boleh dipraktiskan sebagai hantaran perkahwinan. Kata akhir, panel berharap agar penyelidikan penggunaan dinar dan dirham dapat dijalankan di UTM dan universiti-universiti lain kerana ilmu dinar dirham masih di peringkat awal. Masyarakat masih tertanya-tanya berkaitan penggunaan dinar dirham dan dengan penggunaan dinar dirham dapat mengatasi masalah riba.