Sesi Read & Relax Siri 17/2020 di Perpustakaan UTM Johor Bahru telah diadakan pada 15 Oktober 2020 menggunakan aplikasi ZOOM dan ditonton secara lansung di Facebook Perpustakaan UTM. Sesi kali ini menampilkan dua (2) orang pengulas iaitu Puan Nur Farhana binti Hasmuni, Pegawai Sains, Pusat Pengurusan Makmal Universiti, Universiti Teknologi Malaysia dan Cik Fadzleena binti Siam, Pembantu Pustakawan, Perpustakaan UTM.

Pengulas pertama, Puan Nur Farhana binti Hasmuni mengulas buku berjudul “Who Moved My Cheese?” oleh Dr. Spenser Johnson (edisi Bahasa Malaysia). Kisah bermula dengan dua ekor tikus dan dua orang kerdil yang tinggal di sebuah daerah. Tikus dan orang kerdil mempunyai cara pemikiran yang sangat berbeza. Bagi si tikus, semuanya harus mudah dan jelas manakala orang kerdil mempunyai cara pemikiran yang lebih terperinci dan kompleks. Bila terjadinya sesuatu perkara yang di luar jangkaan, si tikus mengambil pendekatan untuk mencari alternatif yang lain bagi mencapai objektif yang sama manakala orang kerdil hanya mampu meratap serta mempersoalkan punca semua itu berlaku tanpa ada inisiatif untuk bangkit dan meneroka peluang yang baharu.

Penulis sentiasa membuatkan kita terfikir adakah berbaloi untuk meratapi kejatuhan atau kehilangan tanpa keinginan untuk bangkit semula dan mencuba peluang lain yang terbentang luas dalam hidup kita. Penulis mengambil pendekatan berkonsepkan metafora dalam penceritaan. Keju adalah metafora bagi apa yang kita mahukan dalam hidup, sama ada berkaitan dengan pekerjaan, perhubungan, wang, kesihatan, ataupun ketenangan fikiran. Manakala kawasan berliku yang dimaksudkan adalah tempat kita menemukan apa yang kita mahu, sama ada di organisasi tempat kerja, keluarga, ataupun komuniti tempat tinggal. Buku ini menerangkan kepada pembaca supaya lebih jelas tentang aspek kehidupan yang sentiasa ada pasang surutnya.

Perubahan dalam perjalanan hidup akan membuatkan kita lebih bersedia dan matang untuk mengambil tindakan yang terbaik buat diri kita sendiri. Penulis menggunakan bahasa serta metafora yang mudah untuk ditfahami, sesuai dengan realiti kehidupan manusia. Susunan ayat juga membuatkan pembaca sentiasa ingin tahu apakan kesudahan dan pengajaran yang terselit di sebalik kisah dua (2) ekor tikus dan dua (2) orang kerdil tersebut. Setiap kesulitan sentiasa akan ada jalan penyelesaian dan kita perlu bijak mengatur langkah serta mengejar peluang, bukan hanya duduk menunggu tanpa sebarang tindakan.

Pengulas kedua iaitu Cik Fadzleena binti Siam mengulas buku berjudul “Hidup Penuh Erti : Cerita Dari Hati” oleh Hilal Asyraf dan Aiman Azlan. Buku ini merupakan sebuah buku motivasi dan mengandungi catatan pengalaman hidup seumpama diari dari kedua-dua penulis ini. Mereka juga turut berkongsi pengalaman hidup semasa belajar di luar negara. Salah satu tajuk dalam buku ini yang menarik minat pengulas adalah bab berkaitan ikhlas. Penulis menerangkan bahawa ikhlas tu sesuatu yang sangat berharga dan hanya Allah sahaja yang boleh menilai keikhlasan kita. Perbuatan ikhlas boleh diibaratkan sebagai satu perbuatan yang dilakukan tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Penulis juga ada menyatakan bahawa kepandaian dan kebolehan setiap orang berbeza dan kepandaian tidak tertakluk kepada akademik semata. Kehidupan di dunia adalah sementara, maka jangan pandang rendah pada  orang yang rendah pencapaian akademik kerana mereka ada kelebihan yang lain. Jadi raikan perbezaan itu. Identiti kita yang sebenar adalah kita merupakan hamba Allah s.w.t.Segala pergantungan kita adalah kepada-Nya, segala tindak-tanduk, dan perlakuan kita adalah kerana-Nya. Gaya penulisan buku adalah ringkas dan mudah untuk difahami setiap lapisan pembaca. Semoga cerita-cerita hidup kita nanti apabila ditayangkan di akhirat kelak, merupakan cerita-cerita yang indah, dan menjadi punca untuk Dia merahmati kita, seterusnya memberikan kita tempat di syurgaNya.

Share this :