Pusat Sumber sekolah merupakan tempat rujukan maklumat dalam sesebuah sekolah dan menjadi tumpuan kepada pelajar dan komuniti sekolah semasa waktu rehat atau apabila ada sesi yang terluang. Justeru itu, adalah penting untuk pusat sumber sekolah mempunyai sistem perpustakaan yang stabil bagi mengurus bahan perpustakaan supaya lebih sistematik dan mudah diakses oleh pelajar dan komuniti di sekolah berkenaan.

Menyedari kepentingan ini, Jabatan Perpustakaan UTM telah mengambil inisiatif untuk membangunkan sistem pengurusan perpustakaan sekolah menggunakan aplikasi sumber terbuka iaitu sistem bersepadu KOHA melalui Program Khidmat Masyarakat (CSR) pada 21 hingga 22 Oktober 2020 dengan pihak Sekolah Menengah Kebangsaaan Tuanku Abdul Rahman Putra (STARP), Kulai, Johor.

Jabatan Perpustakaan UTM diwakili oleh Ketua Seksyen Automasi, Encik Md Razib bin Karno, bersama Pustakawan Kanan, Encik Yusrul Hisham bin Mohd Yusof dan Pegawai Teknologi Maklumat, Encik Sharul bin Ismail telah membantu membangunkan sistem KOHA di sekolah ini memandangkan mereka mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam pembangunan sistem pengurusan perpustakaan sumber terbuka iaitu sistem bersepadu KOHA. Sebanyak 20,000 rekod telah berjaya dipindahkan dari sistem pusat sumber sekolah ke sistem KOHA dan semua rekod berkenaan juga telah berjaya diakses dengan baik.

Wakil dari pihak sekolah iaitu guru pusat sumber (perpustakaan), Puan Gangga Uma selaku penyelaras sekolah telah bekerjasama dalam menjayakan program ini. Sokongan penuh dari pihak sekolah iaitu Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Rokiah Sidek turut memberikan satu impak yang besar kepada komuniti sekolah dan guru-guru.

Program ini dilaksanakan bagi membantu pihak sekolah mewujudkan dan meningkatkan sistem perpustakaan sedia ada kepada sistem bersepadu yang lebih baik, efisyen dan terkini, serta usaha Perpustakaan UTM melaksana tanggungjawab sosial bersama komuniti luar terutama pihak sekolah di daerah Kulai.

Bengkel penggunaan Sistem KOHA oleh Perpustakaan UTM telah dikendalikan bersama 12 orang guru pusat sumber dan kaunseling pada 22 Oktober 2020 bertempat di pusat sumber sekolah. Latihan ini bertujuan bagi memberi pemahaman kepada guru serta mendalami penggunaan modul perolehan, katalog dan sirkulasi dalam sistem KOHA tersebut. Sesi latihan ini sangat membantu pihak sekolah terutamanya pusat sumber mereka dalam mengurus koleksi bahan dan menyediakan kemudahan pencarian setempat berasaskan web melalui sokongan teknologi maklumat dan pengurusan perpustakaan dengan lebih cekap dengan kos yang sangat minimum.

Sistem KOHA menepati keperluan sistem perpustakaan masa kini kerana antara ciri yang disediakan adalah integrasi antara modul, paparan web, sumber terbuka, sumber kod percuma, kos yang rendah dan ciri lain yang menarik minat pihak sekolah untuk membangunkan sistem ini bagi keperluan pusat sumber mereka. Memandangkan pusat sumber adalah pusat ilmu dan tempat perjumpaan penting bagi pelajar dan para guru, ia memerlukan satu sistem berintegrasi yang boleh diakses di semua platform media yang lebih mudah dan ringan seperti telefon, tab atau komputer riba untuk mendapatkan maklumat dengan pantas.

Perpustakaan UTM amat berbesar hati untuk berkongsi kemahiran dan pengetahuan termasuk memberikan bimbingan dan latihan kepada pihak sekolah secara sukarela supaya pusat sumber sekolah dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada komuniti sekolah.  Semoga usaha murni dan kerjasama ini dapat dilaksana dan dimanfaatkan secara berterusan di kalangan warga sekolah yang terlibat.

 

Share this :