Bagi menutup tirai program 2020, pihak Jabatan Perpustakaan UTM telah membawakan satu sesi istimewa melalui program Bicara Karya. Kami tampilkan penulis buku Best Seller “Sepatu Hijrah”, Tn Hj Mohd Akhirudin Abdul Wahab untuk berkongsi intipati buku tersebut dalam saat kita berdepan dengan dugaan hebat kehidupan norma baharu akibat pandemik Covid-19.  Harapan kami agar bicara naskhah ini dapat melonjak keazaman kita untuk bersedia mendepani kehidupan 2021 yang ternyata masih kabur. Sesi telah berlangsung pada 28 Disember 2020 jam 3.00 petang di Bilik Seminar 3, Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah yang dipancarkan secara langsung melalui Facebook Live di Facebook Perpustakaan UTM.

Sepatu Hijrah adalah pengalaman sebenar penulis asbab yang pada ketika diuji Allah dengan serangan jantung dan pengalaman beliau menjalani rawatan di hospital selama 6 hari. Mungkin kisah ini biasa kita dengar atau mungkin ada yang pernah melalui dugaan yang sama. Namun kisah itu tidak digarap atau jauh sekali dinukilkan untuk tatapan umum. Atas tujuan dakwah dan berkongsi rasa, penulis berazam untuk menghasilkan naskhah setebal 173 helai ini. Sepatu atau kasut menjadi alas kepada kaki untuk mengatur perjalanan kehidupan. Langkah demi langkah disusun untuk sampai ke destinasi yang dituju. Tanpa alas kaki berkemungkinan ia boleh mengakibatkan kecederaan pada kaki ketika melangkah. Analoginya, sepatu digambarkan sebagai ilmu dan  persiapan untuk diri yang sedang mencari jalan menuju redha tuhan yang Maha Esa. Ini diibaratkan melalui kata-kata penulis “Sepatu hijrah itu harus kau sarung untuk sebuah perjalanan sukar tetapi indah”.

Menggenggam falsafah untuk lebih memberi berbanding menerima, menghadirkan kekuatan penulis untuk menghasilkan naskhah Sepatu Hijrah. Beliau berharap agar pengalaman yang dilaluinya dapat dikongsi sebagai pengajaran kepada para pembaca. Dalam 37 bab yang terkandung di dalam buku ini, setiap satunya mempunyai kekuatan penceritaan yang tersendiri. Pembaca boleh memulakan pembacaan dari mana-mana bab yang disukai, tanpa perlu mengikut turutan yang telah ditetapkan.

Tahun 2020 diselubungi dugaan pandemik yang menuntut kehidupan dalam norma baharu. Keselesaan dan kebebasan direnggut sehingga memberi kesan kepada emosi. Ada yang diuji dengan kehilangan orang tersayang, terjejasnya mata pencarian dan pelbagai kesempitan hidup. Namun, kehidupan perlu diteruskan. Bangkitlah untuk terus merancang kehidupan, meneruskan kerjaya dan membina kekuatan ukhwah demi kelangsungan hidup. Biarkan 2020 berlalu dengan membawa pengajaran. Mulakan 2021 dengan rencana hebat yang penuh hikmah dengan meletakkan keredhaan Allah sebagai matlamat.

Perkongsian pengalaman daripada buku “Sepatu Hijrah” amat meninggalkan kesan yang mendalam. Sehingga mampu untuk menjentik hati dan akal fikiran menerima hakikat kehidupan. Sebuah buku yang sarat dengan iktibar dan pedoman.

 

 

Share this :