Siri kesembilan program Read & Relax Perpustakaan UTM Johor Bahru telah berlangsung pada 1 Julai 2021 dengan membawakan 2 orang pengulas iaitu Ts. Dr. Siti Zulaiha Binti Hanapi yang merupakan seorang Pegawai Penyelidik, Institut Pembangunan Bioproduk, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi). Manakala pengulas kedua adalah Puan Norfarhawa Binti Khairi, Pegawai Pereka daripada Pejabat Strategi & Hal Ehwal Korporat, Jabatan Canseleri.
Pengulas pertama iaitu Ts. Dr. Siti Zulaiha Binti Hanapi telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Man’s Search for Meaning karya Viktor Frankl. Buku ini terjual lebih daripada 16 juta naskhah di seluruh dunia dan telah diterbitkan dalam 49 bahasa dan 190 edisi. Ia dikatakan telah mengubah hidup dan dijadikan panduan kepada hampir keseluruhan pembacanya. Bahkan ianya disebut sebagai salah sebuah buku terbaik sepanjang zaman. Buku ini mengisahkan pengalaman penulis sendiri sebagai tahanan di kem konsentrasi Nazi semasa perang dunia kedua. Buku ini mendedahkan kaedah psikoterapi hasil daripada pemerhatian yang dibuat terhadap semua tahanan yang berada di kem tersebut. Menurut Frankl, cara seorang tahanan membayangkan masa depan mempengaruhi jangka hayatnya untuk terus bertahan di dalam kem berkenaan. Bahagian pertama buku ini merupakan analisis Frankl mengenai pengalamannya di kem-kem konsentrasi, sementara pada bahagian kedua pengarang lebih memperkenalkan kepada idea-idea makna dan teorinya yang disebut sebagai logoterapi.
Tidak mudah untuk bertahan di dalam sebuah kem tahanan. Berbagai ketidakadilan, penyiksaan, dan penderitaan dirasakan oleh Frankl. Dia juga melihat betapa ramainya tawanan yang meninggal dunia disebabkan oleh pelbagai sebab, termasuk ada yang sengaja membunuh diri. Daripada semua pengalamannya itu, Frankl menemukan pelbagai perkara, khususnya tentang kematian dan kehidupan. Berdasarkan kepada pembacaan tersebut pengulas telah merumuskan bahawa sekiranya seseorang itu berhadapan dengan situasi yang tidak disenangi maka sudah sampai masa bagi mereka untuk memikirkan dan mencipta makna dalam kehidupan mereka. Keberanian dan semangat untuk terus berjuang perlulah disemat dalam hati agar tindakan yang diambil dapat mengubah masa hadapan dan memberi impak yang lebih positif sekiranya tidak dapat mengubah keadaan.
Manakala pengulas kedua pula iaitu Puan Norfarhawa Binti Khairi telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Otak Power karya Azizul Azli Ahmad. Buku ini membincangkan tentang fungsi otak yang di anugerahkan Allah kepada makhluk yang dinamakan manusia. Otak manusia dibentuk oleh persekitarannya dan apa yang mereka percaya sejak kecil. Manusia telah dididik bahawa semua orang kaya itu jahat manakala orang miskin sering dilabel sebagai mangsa, dan sekaligus wujud tanggapan bahawa semua orang miskin itu baik. Wang selalu dianggap sebagai punca berlakunya pelbagai bencana di dunia. Hakikatnya wang bukanlah punca utama tetapi sikap manusia itu sendiri, Wang hanya kertas yang tidak mampu bergerak sendiri.
Buku ini mendidik manusia untuk mencerna ilmu daripada pembacaan dan mempraktikkannya dalam kehidupan. Setiap manusia dibezakan oleh akal fiikiran. Sebagai seorang manusia yang dikurniakan akal, kita perlu berfikir di luar kotak pemikiran dan tidak terlalu skeptikal dan bersikap prejudis terhadap orang lain. Buku ini menyentuh tentang amalan bersedekah yang berupaya untuk memberi ketenangan diri dan seterusnya memperolehi rahmat Allah. Setiap insan perlu sentiasa bersyukur dengan nikmat dan anugerah yang telah dimiliki tanpa perlu membandingkannya dengan kehidupan orang lain. Pengulas juga berkongsi tentang pentingnya pelaburan dalam mencari ilmu pengetahuan untuk diaplikasikan dalam kehidupan.