Program BookSharing@UTMKL 2021 Siri 14 telah diadakan pada hari Khamis, 2 September 2021. Seperti lazimnya, dua orang penyampai akan berkongsi ulasan buku dari pembacaan mereka. Dua orang penyampai yang menjadi jemputan untuk kali ini adalah Encik Muhammad Islah Bin Sulaiman dari Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), UTMKL dan Puan Sharidah Binti Ibrahim dari Pejabat Perkhidmatan Digital Kuala Lumpur.


Moderator, Puan Noor Ayesha telah menjemput Encik Muhammad Islah Bin Sulaiman untuk memulakan perkongsian kali ini. Memilih buku yang bertajuk Transformasi Pendidikan Dan Komuniti Luar Bandar yang disunting oleh Jabil Mapjabil, Christina Andin, Julenah Ag Nuddin. Menurut beliau, buku ini adalah untuk memperkasakan pendidikan luar bandar yang merupakan satu agenda penting dalam Pelan Pembangunan Pendidikan di Malaysia dimana pendidikan mempunyai impak yang besar terhadap peningkatan kualiti kehidupan. Buku Transformasi Pendidikan Dan Komuniti Luar Bandar ini menghimpunkan sepuluh bab yang membincangkan tentang peranan dan strategi yang digunakan oleh pelbagai pihak dalam usaha memperkasakan pendidikan luar bandar.

Encik Muhammad Islah Bin Sulaiman mengulas buku bertajuk Transformasi Pendidikan Dan Komuniti Luar Bandar.

Secara keseluruhannya, organisasi buku ini disusun dalam tiga tema yang saling berkaitan antara satu dengan yang lain. Tema pertama membincangkan peranan pendidikan dalam mempengaruhi mobiliti sosial komuniti luar bandar. Tema kedua pula meneliti tentang penglibatan dan peranan pelbagai pihak dalam pembangunan pendidikan di luar bandar termasuk peranan pihak luar, komuniti setempat dan guru. Tema ketiga memberikan fokus kepada usaha untuk memperkasakan Pendidikan Sains dan Teknologi di sekolah luar bandar.

Menurut beliau, buku ini dapat memberikan maklumat yang boleh dimanfaatkan untuk memperkasakan pembangunan pendidikan di kawasan luar bandar khususnya yang berkaitan dengan kerjasama pihak luar dengan komuniti serta Pendidikan Sains dan Teknologi. Tambahnya lagi, buku ini juga relevan sebagai bacaan umum dan rujukan tambahan bagi memperkayakan ilmu pembaca tentang pendidikan luar bandar.

Puan Sharidah Binti Ibrahim mengulas buku bertajuk Ya Allah, Jangan Biarkan Aku Sendiri.

Program diteruskan lagi dengan perkongsian dari Puan Sharidah Binti Ibrahim. Beliau memilih buku yang bertajuk Ya Allah, Jangan Biarkan Aku Sendiri hasil penulisan Ustazah Asma Harun dan Dwi Suwiknyo. Menurut beliau, buku ini dibaca ketika beliau sekeluarga diuji dengan wabak Covid-19 dan buku ini berjaya membawa ketenangan dan keredhaan sepanjang berada dalam tempoh penyembuhan. Mengandungi 14 topik berkenaan sifat yakin bahawa Allah adalah sebaik-baik pelindung. Permulaan buku ini diperlihatkan kepada pembaca dengan lakaran kembara manusia dalam mencari redha Allah bermula dari alam roh, alam rahim, alam dunia, alam barzakh dan seterusnya alam akhirat. Ini membuktikan bahawa manusia adalah makhluk Allah yang lemah dan hendaklah berserah kepada Allah setelah puas berusaha selain sentiasa mensyukuri nikmat kurniakanNya.

Tambahnya lagi, penggunaan bahasa dan ayat yang indah di dalam buku ini mampu menenangkan hati sekaligus membantu untuk muhasabah diri pembaca, mendidik anak hal keagamaan, mengetahui bagaimana berhadapan dengan orang yang mengalami depresi, dan mempraktis komunikasi yang baik dalam menegur kesalahan orang yang lebih tua dari kita. Sebelum mengakhiri perkongsian, beliau berpendapat bahawa buku ini perlu dibaca sebagai rujukan untuk hati-hati yang memerlukan bimbingan dan ingatlah bahawa semua yang terjadi adalah aturan Allah S.W.T. Sebagai orang islam, apa jua dugaan mahupun kebaikan yang kita peroleh, semuanya perlu berlandaskan dari Allah dan dengan izinNya jua.

Share this :