Dalam menyambut saranan dan matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memperkasakan #malaysiamembaca, Perpustakaan UTM Pagoh juga tidak terlepas menganjurkan program Read & Relax. Program Read & Relax Siri 1/2019 peringkat UTM Pagoh telah dilaksanakan pada 16 Januari 2019, Rabu di Bilik Mesyuarat Fotosintesis pada jam 2.30 petang.

Sesi yang pertama di UTM Pagoh ini telah disertai oleh 4 orang pengulas yang terdiri daripada kalangan staf UTM Pagoh. Pengulas tersebut adalah:

Prof. Dr. Mohamad Roji Sarmidi

Tajuk buku: The Alchemy of Happiness

Penulis Abu Hamid Al-Ghazali menceritakan bagaimana seseorang itu dapat mencari kebahagiaan dalam hidup. Antara kunci utama dalam mencari kebahagiaan adalah menjadi diri sendiri, kenali diri dan teroka diri. Selain itu, dalam mencari kebahagiaan juga, seseorang itu perlu mengenali Maha Pencipta, mengenali dunia dan mengenali akhirat. Penulis juga menekankan bahawa setiap tindakan yang kita buat di dunia adalah untuk hari akhirat.

Dr. Umi Aisah Asli

Tajuk buku: Law of Attraction

Ditulis oleh Michael J. Losier, Law of Attraction berkongsikan bagaimana seseorang itu mampu menarik aura positif daripada persekitaran untuk mengubah hidupnya kepada yang lebih baik. Jika hidup anda seolah-olah semakin tersasar daripada yang anda rancang, buku ini akan membimbing anda dan memberikan kaedah untuk anda kekal fokus dengan hala tuju dan impian hidup anda.

Tuan Haji Mohd Farid Rahmat

Tajuk buku: Keajaiban Air – Ubah Air Anda Ubah Kehidupan Anda

Buku hasil karya Norhuda Mahat ini ialah mengenai air yang mempunyai pelbagai kegunaan. Air boleh menjadi sesuatu yang positif dan juga negatif, bergantung bagaimana cara kita manfaatkannya. Kuasa doa terhadap air juga adalah sangat menakjubkan. Air yang dibacakan dengan ayat-ayat baik, ucapan-ucapan yang baik mempunyai tindak balas yang berbeza berbanding air yang dibacakan dengan ayat dan ucapan yang negatif.

En. Muhammad Hazim Yusof

Tajuk buku: Ulu Yam Di Liverpool – Aku Bukan Mat Salih Celup

Daripada angan-angan, kini menjadi impian. Cita-cita penulis, Nazali Noor untuk merantau ke bumi asing, Liverpool, UK menjadi kenyataan meskipun pelbagai dugaan dan cabaran yang datang. Dulu beliau hanya budak kampung di Ulu Yam dan kini beliau telah mencipta nama di Liverpool terutamanya di kalangan rakyat Malaysia dan penyokong Liverpool di sana. Dalam menceritakan kisah hidupnya, banyak pengajaran yang penulis selitkan antaranya menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa, nikmat memberi dalam menerima, jangan mudah berputus asa dan sentiasa berdoa.

Disediakan oleh En Mohd Hazim Yusof

Share this :