BATU PAHAT, 8 Oktober – Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima jemputan daripada Yayasan Warisan Johor untuk menyertai Program Bicara Warisan Galeri Dato’ Onn bertajuk “Jejak Jepun di Batu Pahat” yang berlangsung pada 8 Oktober 2026 (Khamis), bertempat di Galeri Dato’ Onn, Batu Pahat, Johor.

Program ini bertujuan mengetengahkan sejarah komuniti Jepun di Batu Pahat, termasuk sumbangannya terhadap pembangunan ekonomi serta hubungan sosial dan budaya yang menjadi sebahagian daripada warisan tempatan.

Sesi perkongsian menampilkan Encik Muhamad Hanafi bin Rahmat, Pensyarah Kanan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), sebagai panel jemputan, manakala moderator ialah Dr. Muhammad Aiman Nasuha bin Azari, Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Johor.

Program ini turut dihadiri oleh YBhg. Tuan Haji Kamalludin bin Haji Jamal, Pegawai Daerah Batu Pahat, bersama Yang Berhormat Kolonel Dato’ Mohamed Perang bin Haji Musa, Pengarah Muzium Diraja Abu Bakar, Istana Besar Johor, serta wakil pelbagai agensi dan jabatan.

Selain sesi perkongsian ilmu dan soal jawab, program turut diserikan dengan pertandingan busana tradisional Jepun yang memperkenalkan keunikan budaya masyarakat tersebut kepada peserta.

Penyertaan Jabatan Perpustakaan UTM dalam program ini memberikan peluang untuk memperluas pengetahuan dan meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan penyelidikan, pendokumentasian serta pemeliharaan khazanah sejarah dan warisan tempatan. Program seumpama ini turut menyokong peranan perpustakaan sebagai institusi yang memelihara dan menyebarluaskan sumber ilmu untuk manfaat generasi akan datang.

Share this :
UTM Open Day