Sesi Read & Relax, Siri 13/2019 di Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS) telah dilaksanakan pada 8 Ogos 2019, Khamis di Ruang Foyer pada jam 11:00 pagi. Sesi ini telah disertai oleh 2 orang pengulas yang terdiri daripada kalangan staf PRZS. Pengulas tersebut adalah En. Md. Hafizan Kamat dan En. Ahmad Nurul Fahmi. Manakala rapportuer adalah Pn. Norasiah Mohamad

Pengulas pertama iaitu En. Md. Hafizan mengulas sebuah buku bertajuk Bersedia untuk Mati menjelaskan  bahawa mengingati kematian adalah suatu yang dituntut oleh agama Islam. Ia menjadi peringatan kepada manusia agar sentiasa berakhlak baik dan melakukan kebaikan. Ia juga membuka pintu pengharapan bagi orang yang dizalimi.

En Hafizan Md Kamat mengulas buku bertajuk Bersedia untuk Mati

Manusia ini pelbagai sikapnya, seperti kata pepatah Melayu, “Rambut sama hitam, hati masing-masing berlainan.” Ada tujuh peringkat sikap manusia, pertama ialah manusia kehaiwanan, iaitu kehidupan manusia pada tahap akhlak paling rendah. Kedua, manusia yang hidup dalam kesedaran ikut-ikutan. Manusia tidak ada pendirian, suka mengikut arus kehidupan atau mengikut apa yang orang ramai suka buat. Ketiga, manusia yang menyedari dirinya seorang yang berbeza, unik dan terlalu berprinsip. Keempat, manusia tidak tahu tujuan hidup, tidak ada keyakinan diri, malas mencuba dan cepat berputus asa. Kelima, manusia yang hidup dengan disiplin sangat kuat, terlalu dominan dan teratur. Keenam, manusia yang percaya disiplin memberi pengalaman hidup iaitu yang bercita-cita ingin berubah memperbaiki diri. Ketujuh, manusia yang mengawal diri dan kehidupan dari dalam ke luar. Manusia makrifatullah, iaitu Allah SWT adalah segala-gala dalam hidup. Kepelbagaian sikap itu meletakkan manusia pada tahap yang berbeza kedudukan serta hasil kehidupan semasa di dunia atau akhirat. Manusia makrifatullah mengutamakan mencari makna dan tujuan akhirat lebih daripada keduniaan. Sesiapa yang tidak memberatkan akhirat hidupnya akan sukar di sana nanti. Hal ini pernah diperkatakan oleh Umar Abdul Aziz kepada Anbasah, “Seringlah mengingati mati, sebab jika hidupmu mudah, ia akan membuatnya sukar. Dan jika hidupmu sukar ia akan membuatnya mudah.” Biarlah kita penat di dunia, memanfaatkan waktu untuk memperbanyak amal soleh, seperti sabda Nabi SAW: “Ambil kesempatan lima sebelum lima, iaitu sihatmu sebelum sakitmu, waktu lapangmu sebelum sibukmu, kayamu sebelum fakirmu, mudamu sebelum tuamu dan hidupmu sebelum matimu.”

En. Ahmad Nurul Fahmi Ahmad Zajuli mengulas buku bertajuk Majalah Maskulin Edisi Julai-September 2019

Pengulas kedua iaitu En. Ahmad Nurul Fahmi mengulas tentang majalah yang dipilihnya iaitu Maskulin Edisi Julai-September 2019. Majalah tersebut amat menarik dan penuh informasi sesuai dengan kehendak kaum Adam. Majalah ini mengandungi pelbagai topik dari Automobil, gadget sehinggalah kepada aspek kesihatan lelaki dan penjagaan kaum adam seperti pemilihan minyak wangi dan fesyen lelaki yang terkini.

Disediakan oleh Pn Norasiah Mohamad

Share this :