Wakil daripada Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menghadiri sesi ke-4 program Book Go Round yang berlangsung di Bora Ombak, Putrajaya pada 12 Mei sekitar jam 8.00 malam.

Program ini merupakan satu inisiatif yang diketengahkan oleh YB Dato’ Indera Shahar Abdullah dalam usaha membudayakan amalan membaca serta memperkukuh budaya perkongsian ilmu melalui sesi diskusi buku yang santai dan interaktif.

Perpustakaan UTM diwakili oleh Datin Nik Masriza Zakaria, selaku Ketua Bahagian Perpustakaan UTM Kuala Lumput dan pustakawan Sharifah Radhiah Syed Azman yang turut bersama jemputan daripada perpustakaan universiti awam, pegawai dan staf kementerian serta para usahawan dan pemain industri yang hadir memeriahkan program tersebut.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada YB Dato’ Indera Shahar Abdullah yang menyentuh mengenai matlamat dan aspirasi program Book Go Round sebagai platform untuk menggalakkan masyarakat membina budaya membaca, berfikir secara kritikal serta berkongsi pandangan melalui sesi perbincangan ilmiah.

Sesi perkongsian diteruskan dengan pembentangan daripada sembilan orang panel daripada Pejabat Paya Besar yang telah berkongsi pandangan dan ulasan berdasarkan buku yang dibaca. Para hadirin turut diberikan ruang untuk memberikan refleksi dan pandangan masing-masing terhadap topik yang dibincangkan.

Bagi sesi kali ini, dua buah buku telah diketengahkan iaitu Fall of Civilizations: Stories of Greatness and Decline karya Paul M.M. Cooper dan The Heart and The Chip hasil tulisan Daniela Rus dan Gregor Mone. Buku Fall of Civilizations: Stories of Greatness and Decline membincangkan tentang kebangkitan dan kejatuhan tamadun-tamadun besar dunia serta faktor-faktor yang membawa kepada keruntuhan sesebuah peradaban seperti peperangan, perubahan iklim dan kelemahan kepimpinan. Buku ini turut memberi perspektif tentang bagaimana sejarah mampu menjadi pengajaran kepada masyarakat moden hari ini.

Sementara itu, The Heart and The Chip pula mengetengahkan perkembangan teknologi robotik, kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin serta bagaimana teknologi tersebut mampu membantu meningkatkan kehidupan manusia pada masa hadapan. Buku ini juga menyentuh aspek etika dan peranan manusia dalam memastikan teknologi berkembang secara bertanggungjawab dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Sebagai tanda penghargaan, semua hadirin turut menerima buku coffee table Paya Besar sebagai cenderahati program. Turut mencuri perhatian apabila Datin Nik Masriza merupakan salah seorang penerima hadiah cabutan bertuah berupa buku The Heart and The Chip.

Program seperti ini dilihat mampu menjadi platform yang baik dalam memperluas budaya membaca, pertukaran idea dan pembentukan komuniti berilmu melalui pendekatan yang lebih inklusif dan terbuka.

Share this :
UTM Open Day