Sesi Read & Relax Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan telah diadakan di Lobi Fakulti Kejuruteraan, Bangunan V01 pada 22 Ogos 2019 jam 11.00 pagi. Tiga (3) orang pengulas yang terdiri daripada Encik Norazmein Abdul Raman, Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip dan Pn. Norhanimusliatun Abu Bakar telah mengulas buku pilihan masing-masing.

Pengulas pertama iaitu Encik Norazmein Abdul Raman dengan tajuk bukunya, As I Was Passing hasil karya penulis tersohor Adibah Amin mengisahkan tentang budaya dan cara hidup masyarakat Malaysia. Ia juga mengisahkan pengalaman penulis yang mengupas kepelbagaian identiti masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama, budaya dan warna kulit. Buku ini sesuai dibaca oleh semua peringkat umur demi melahirkan rasa kecintaan kepada negara.

Pengulas kedua pula ialah Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip yang berkongsi sebuah buku daripada koleksi peribadi beliau iaitu Life. Buku ini membongkar cabaran perjalanan kehidupan masa kini yang melibatkan masalah stress, kewangan, perhubungan sesama rakan dan sebagainya. Realitinya, kita semua berdepan dengan masalah yang pelbagai dan berbeza di antara satu sama lain. Yang menjadi keutamaan adalah bagaimana cara untuk kita berdepan dengan masalah tersebut. Menurut penulis, kita perlu berfikiran positif, sentiasa cuba menggembirakan diri sendiri dan melakukan apa yang kita gemari.

Pengulas terakhir ialah Pn. Norhanimusliatun Abu Bakar yang berkongsi maklumat tentang video di You Tube yang berjudul Rahsia Alam – Khasiat Limau Kasturi. Limau kasturi mengandungi kandungan antioksiden yang sangat tinggi berbanding lemon dan ia mudah diperolehi serta murah. Ianya bukan sahaja berkhasiat bahkan sering digunakan dalam masakan tradisional melayu seperti sambal belacan, laksa johor dan mee rebus. Air limau kasturi juga sangat baik diamalkan terutama kepada sesiapa yang mengamalkan diet untuk mengurangkan berat badan.

Disediakan oleh Cik Hamizah Sumin.

Share this :