Pada 21 Oktober 2019, pihak Perpustakaan UTM telah menganjurkan satu program perkongsian ilmu (Knowledge Sharing) yang bertajuk “Apabila Sarjana Menulis Fiksyen”. Program ini telah berlangsung di Bilik Seminar 3, Aras 4, Perpustakaan Sultanah Zanariah.
Dunia pendidikan dan akademik merupakan satu bidang serius yang banyak bergelumang dengan teori dan analisis data penyelidikan. Namun, Perpustakaan UTM cuba untuk mengetengahkan sisi lain seorang ahli akademik melalui “Apabila Sarjana Menulis Fiksyen: Sisi Lain Ahli Akademik”. Sesi ini mengupas kejayaan ahli akademik dalam penerbitan buku bergenre fiksyen. Program yang berkonsepkan bual bicara ini mengetengahkan tiga (3) orang ahli panel yang dijemput khas iaitu Dr. Batiah Mahadi, Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Dr. Nor Fasiha Mohd Yusof, Pensyarah Kanan, Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, dan Puan Nurul Asyikin Ngadiso, mahasiswa PhD UTM dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim. Mereka adalah barisan penulis novel, kisah tauladan kanak-kanak malah siri motivasi santai. Sesi ini mencungkil rahsia kejayaan mereka melakar minat penulisan yang jauh berbeza daripada kerjaya mereka. Moderator bagi program ini adalah Puan Haliza Zainal, Pustakawan Kanan, Perpustakaan UTM.
Dr. Batiah Mahadi, Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim
Dr. Batiah Mahadi merupakan seorang penulis novel. Novel nukilannya diilhamkan dari pengalamannya sendiri. Perkara yang dilihat di sekelilingnya dijelmakan sebagai satu karaktor dalam karya novelnya. Dr Batiah gemar membaca pelbagai genre bacaan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sejak kecil. Dengan nama pena Batiah Hadi, beliau menghasilkan manuskrip novel yang pertama iaitu “Faris loves Layla” pada tahun 2010 sewaktu dalam tempoh pengajian PhD. Namun, karya tersebut hanya dapat diterbitkan pada tahun 2015 setelah beberapa bab dalam novel tersebut dimuat naik dalam sebuah portal milik Grupbuku Karangkraf mencatat jumlah bacaan yang sangat tinggi. Maka bermulalah perjalanan beliau sebagai seorang penulis novel yang dikenali melalui empat buah lagi novel di bawah penerbitan Grupbuku Karangkraf (Alaf 21) iaitu Hatiku Not For Sale (2016), Cinta Boarding Pass (2017), Soulmate Tuan Profesor (2018), dan karya terbaru beliau adalah Crush Aku Mr Chicano (2019).
Dr. Nor Fasiha bt Mohd Yusof pula merupakan pensyarah kanan dari Sekolah Kejuruteraan Mekanikal. Bidang penyelidikan beliau adalah design process, design creativity, dan cognitive design. Dr. Fasiha mula menceburi bidang penulisan kreatif melalui Siri Anekdot (terbitan Wacana MBM) Langit Kehidupan, 2018, Lautan Kehidupan, 2018, Pelangi Kehidupan, 2018, Naskhah Kehidupan, 2018, dan Barakah Kehidupan, 2019. Seterusnya beliau konsisten menulis dengan penghasilan naskhah berjudul Stetoskop Kehidupan dan Titisan Berharga Buat Si Manja (terbitan Kelab Sokongan Penyusuan Susu Ibu Johor Bahru) yang bakal diterbitkan pada tahun 2019. Selain itu, Antologi Puisi Terjemahan Melayu-Jepun (terbitan Persatuan Penulis Johor), dan yang terbaru TM Bercerita (buku solo, terbitan Wacana MBM), bakal diterbitkan pada tahun 2020.
Puan Nurul Asyikin Ngadiso mahasiswa PhD, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, UTM juga merupakan seorang penulis muda yang menggunakan nama pena Ummu Nur, dan Ekyn Ngadiso. Beliau aktif menulis sejak di bangku sekolah rendah sebagai editor majalah sekolah, mengarang puisi, syarahan, pidato dan teks pengacara majlis. Minat itu semakin mendalam ketika berada di sekolah menengah dan terus digilap ketika menuntut di UTM. Beliau aktif mengikuti Bengkel Penulisan Puan Sri Diah pada November 2018 dan aktif menghasilkan beberapa antologi. Di antaranya adalah Retak Seribu Itu Wajah Jujur Kita (Mac, 2019), Bumerang Kasih (Mei, 2019), Corat-Coret PBAKL 2019 (Julai, 2019), Lenggok Zapin Kemas Terjalin (Nov, 2019), Murabbi Dalam Hatiku (Nov, 2019), Kisah Inspirasi Penyusuan : Titisan Kasih Buat Si Manja (Nov, 2019), Kali Pertama (Dis, 2019), dan bakal melahirkan sebuah naskah solo pada Januari 2020 nanti, Insha Allah.
Melalui perkongsian ilmu daripada barisan penulis hebat ini dapat disimpulkan bahawa impian dan cita-cita tidak mustahil untuk direalisasikan sekiranya ia diiringi usaha yang gigih walaupun dalam bidang yang berbeza. Benarlah kata pepatah di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan.
Disediakan oleh Puan Norashikin Binti Johari.