Courtyard Perpustakaan Raja Zarith Sofiah menjadi lokasi baru kepada program read & relax siri 18/2019. Ini menjadikan suasana program lebih santai disamping para pengunjung yang hadir merasa segar dengan kehijauan kawasan tersebut.

Seperti biasa program yang diadakan bermula jam 11.00 pagi menampilkan dua orang pengulas iaitu Pn Narimah Nawil dan Pn Siti Norlela Isnin manakala moderator ialah Cik Nazrinda A. Samah dan rapportuer ialah Pn Roziana Kamaruddin.

Pn Narimah binti Nawil mengulas buku bertajuk Cara Makan dan Minum Nabi

Pn Narimah Nawil memulakan program dengan pilihan bukunya bertajuk Cara Makan dan Minum Nabi. Beliau berkongsi tentang cara-cara makan dan minum yg dianjurkan oleh Nabi kita iaitu Rasulullah saw.

Makan dan minum merupakan salah satu kegiatan yang kita lakukan setiap hari. Setiap orang mempunyai berbeza-beza cara makan dan minum. Dalam pelbagai cara makan dan minum tersebut tentulah Islam menggalakkan kita supaya mencontohi cara makan dan minum yang diajarkan oleh Rasulullah saw.

Antara perkara-perkara yang dilakukan oleh Rasulullah adalah,

  1. Membaca Basmalah,
  2. Makan dengan tangan kanan,
  3. Makan menggunakan 3 jari,
  4. Menjilat jari selepas makan,
  5. Menunggu makanan yang panas menjadi sejuk,
  6. Mengambil makanan yang paling dekat,
  7. Berbual-bual ketika makan (dengan syarat perbualan yang tidak mendatangkan dosa),
  8. Tidak mencela makanan,
  9. Mengutip makanan yang jatuh dan buang bahagian yang terkena kotoran sahaja dan terakhir sekali
  10. Mencuci tangan dan membaca doa selepas makan.

Begitulah sedikit sebanyak cara makan Rasulullah yang semestinya boleh dijadikan panduan oleh umat Islam kerana apa yang dicontohkan oleh Rasulullah pastinya memiliki sisi positif dan manfaat yang besar bagi manusia.

Pn Siti Norlela Binti Isnin mengulas buku bertajuk Imam Syafie Pejuang Kebenaran

Seterusnya pengulas kedua, Pn Siti Norlela Isnin dengan bukunya bertajuk Imam Syafie Pejuang Kebenaran. Melalui buku ini, beliau menceritakan tentang kisah hidup Imam Syafie dalam suka, duka, pahit, dan manis perjuangannya untuk menegakkan kebenaran.

Imam Syafie adalah satu dari empat imam besar yang riwayat hidupnya patut dikenali oleh orang Islam. Nama Imam Syafie yang sebenar adalah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Utsman bin Syafi bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Muthalib bin Abdul Manaf. Imam Syafie dilahirkan di kota Gaza, Palestin pada bulan Rejab tahun 150 Hijriah. Ada yang mengatakan pada malam beliau dilahirkan, Imam Abu Hanifah meninggal dunia. Imam Syafie dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan. Sejak kecil beliau sudah mempelajari Al-Quran.

Pada umur sembilan tahun beliau telah hafal Al-Quran. Ketika berusia 15 tahun beliau sudah mengajar dan memberi fatwa kepada orang ramai di Masjid al-Haram. Imam Syafie sangat gemar belajar, ia haus akan ilmu pengetahuan. Ia pergi ke banyak tempat untuk belajar dengan para ulama-ulama besar dan menyebarkan ilmu kepada umat manusia. Imam Syafie dikenali sebagai seorang yang mempunyai peribadi yang zuhud. Disebabkan kegigihan dan kecerdikan beliau yang luar biasa, beliau mendapat sanjungan masyarakat. Imam Syafie meninggal dunia di Mesir pada usia 54 tahun pada tahun 204 Hijriah.

Disediakan oleh Puan Roziana Binti Kamarudin.

Share this :