Program Read & Relax Siri 16/2019, Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah diteruskan lagi dengan dua orang pengulas iaitu En Fahmi Moksem dan Pn Haslinda Sabari.

 

Encik Fahmi Moksen mengulas buku bertajuk Kerjaya dan Pengalaman Pengadil Bola Sepak

Encik Fahmi Moksen mengulas buku bertajuk Kerjaya dan Pengalaman Pengadil Bola Sepak dan yang menariknya beliau juga merupakan seorang pengadil bola sepak yang agak terkenal di UTM dan kawasan sekitar Johor Bahru.

Encik Fahmi  banyak berkongsi berkenaan syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadi seorang pengadil. Contohnya berkenaan had maksima umur pengadil iaitu  tidak lebih dari 45 tahun. Menurutnya lagi, terdapat 17 kategori undang-undang yang perlu diketahui oleh seorang pengadil bola sepak. Mereka juga perlu menghadiri kursus khas, peperiksaan dan ujian kecergasan. Minat yang mendalam dan stamina yang baik adalah tiket utama untuk menceburi bidang ini, Tidak disangkal pengorbanan masa bersama keluarga sedikit sebanyak terjejas kerana jadual dan latihan hujung minggu yang padat.

Pencapaian tertinggi atau dipanggil batch dikalangan pengadil bola sepak adalah apabila seseorang pengadil seperti beliau terpilih menjadi pengadil di peringkat negeri Johor.

Diakhir perkongsian beliau memaklumkan, sebagai seorang pengadil bola sepak, ketahanan mental amatlah diperlukan kerana adakalanya pengadil diuji dengan provokasi oleh pemain dan penonton. Walaubagaimanapun, tahap tekanan yang dihadapi bergantung pada situasi perlawanan dan corak perlawanan itu sendiri. Kesabaran, kebijaksanaan dan ketenangan pengadil juga memainkan peranan penting dalam memastikan sesuatu perlawanan itu berakhir dengan jaya, damai dan selamat.

Pn Haslinda Sabari telah memilih buku berjudul Pelan-pelan Kayuh

Pengulas kedua, Pn Haslinda Sabari telah memilih buku berjudul “Pelan-pelan Kayuh” yang ditulis oleh Bonda Nor dan disusun oleh Rohamiah Muda. Fakta menarik tentang buku kategori motivasi ini adalah ia terdiri dari 27 kisah yang ditulis oleh peserta satu bengkel penulis.

Buku ini turut menyisipkan petikan hadith dan kata-kata mutiara yang dapat memotivasikan pembaca dalam mengharungi ujian dan rintangan yang mendatang. Terdapat satu kisah yang menyentuh hati dan perasaan pengulas iaitu kisah seorang doktor yang diuji dengan masalah kesihatan anak pertamanya. Anak pertama yang telah lama dinanti-nantikan kehadirannya. Kesihatannya yang dari sehari kehari semakin merosot malahan pada satu ketika hampir meragut nyawanya. Tamparan hebat ini telah menyedarkan si doktor yang selama ini hanya menilai pesakit atau ibu bapa pesakit tanpa meletakkan diri ditempat mereka. Ujian kesihatan yang dihadapi oleh anaknya ini memang telah membuka mata hati dan sanubari beliau untuk lebih memahami keadaan dan perasaan pesakit bersama keluarga mereka.

Kesimpulan ringkas yang dibuat oleh pengulas adalah, jangan memandang rendah orang lain, perlu ada rasa simpati, jangan berprasangka buruk kepada takdir dan orang sekeliling serta yang paling penting sentiasa bersangka baik kepada Allah. Allah menguji dengan pelbagai cara dan setiap kejayaan yang dicapai selalunya didahului dengan ujian dari Nya. Seharusnya kita sebagai hamba Nya perlu sentiasa berusaha dan bertawakkal.

#MalaysiaMembaca
#UTMMembaca
#UTMRead

Disediakan oleh Puan Siti Norlela Isnin

Share this :