Sesi Read & Relax diteruskan pada 28 November 2019 di Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah. Read & Relax kini sudah memasuki siri yang ke 20. Sesi kali ini amat istimewa kerana menampilkan pelajar latihan industri UiTM  iaitu Pn. Nur Amyliyana Mohd. Jalin, Cik Nurul Nadia Muhammad Anuar, dan En. Muhammad Aiman Akif Mohd. Hifni. Mohd. Hifni.

Pn. Nur Amyliyana Mohd. Jalin berkongsi artikel bertajuk Kemurungan: apa yang perlu anda tahu

Pengulas pertama iaitu Puan. Nur Amyliyana Mohd. Jalin telah berkongsi satu artikel yang diperoleh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia bertajuk “Kemurungan: Apa yang Perlu Anda Tahu”. Artikel ini membincangkan tentang gejala kemurungan yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar bangsa, umur mahupun jantina individu. Kemurungan merupakan suatu gangguan psikologi yang menyebabkan pesakit mengalami gangguan perasaan hingga menyebabkan kesedihan yang melampau dan berpanjangan. Pesakit juga turut cepat berasa letih, marah serta hilang minat melakukan aktiviti harian. Kemurungan ini boleh berlanjutan sehingga berbulan-bulan malah hingga bertahun sekiranya tidak dibendung dengan kadar segera. Artikel ini turut membincangkan tentang punca, kesan dan langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil. Menurut kajian, golongan yang berisiko menghadapi masalah kemurungan ini adalah remaja dan pasangan yang berumah tangga.

Cik Nurul Nadia Muhammad Anuar mengulas buku bertajuk Pelukis Jalanan

Cik Nurul Nadia Muhammad Anuar pula berkongsi buku yang bertajuk “Pelukis Jalanan”. Buku ini mengisahkan tentang perjalanan seorang anak muda yang menyambung pengajian di luar negara tanpa sebarang tajaan pada awal pengajiannya. Bakat melukis yang dianugerahkan kepadanya telah digunakan sebaiknya dengan melukis di tepi-tepi jalan sekitar kota London lalu menjualnya. Hasil jualan inilah yang menampung kehidupan dan pengajian beliau di kota London. Di dalam setiap bab, penulis telah berkongsi kisah pahit manis, suka duka dan cabaran yang dilalui sepanjang berada di negara Uncle Sam terutamanya ketika beliau bergelar sebagai seorang pelajar. Penulis terpaksa mengikat perut dengan berlaukkan garam dan telur dadar. Kisah di dalam buku ini mampu menjentik perasaan semua golongan pembaca tanpa mengira usia. Setiap dari kita mampu mengukir kejayaan dengan berjuang mengatasi segala cabaran, ketahui bakat dan potensi diri untuk meneroka kehidupan yang lebih gemilang.

En. Muhammad Aiman Akif Mohd. Hifni mengulas buku bertajuk 25 Pesanan Zaman Berzaman

Pengulas yang terakhir iaitu En. Muhammad Aiman Akif Mohd. Hifni telah berkongsi tentang buku yang bertajuk 25 Pesanan Zaman Berzaman. Buku ini merupakan buku pemberian ayahnya ketika beliau masih bersekolah rendah. Buku ini mengisahkan tentang 25 peribahasa melayu yang mengandungi siri teladan dan nasihat secara berkias. Sudah menjadi kelaziman masyarakat melayu yang gemar menggunakan bahasa kiasan di dalam menasihati dan menyampaikan nasihat kepada seseorang bagi mengelakkan salah faham atau sengketa di masa hadapan. Makna tersirat yang disampaikan biasanya begitu halus dan mendalam maksudnya. Bahasa kiasan ini biasanya diilhamkan dari alam semulajadi dan persekitaran yang begitu dekat dengan masyarakat melayu. Antara peribahasa yang terkandung dalam buku ini adalah ‘Hanya jauhari yang mengenal manikam’, ‘Belakang parang kalau diasah lagikan tajam’, ‘Alah bisa tegal biasa’, ‘Arang habis besi binasa’. Juga diterangkan perincian setiap peribahasa serta maksud objek kiasan berkenaan. Menariknya lagi, turut diselitkan firman Allah dari pelbagai surah yang menyokong kepada nasihat dan pengajaran yang disampaikan.

Disediakan oleh Puan Norashikin Binti Johari.

Share this :