Perpustakaan UTM sentiasa beriltizam untuk menyokong keperluan kesarjanaan akademik melalui pembangunan koleksi yang dinamik dan holistik. Ia menyokong sepenuhnya aspirasi pendidikan tinggi negara dan penarafan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai sebuah universiti penyelidikan yang cemerlang dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan. Namun peranan universiti di dalam memberikan perkhidmatan kepada watan tidak dipinggirkan. Kecemerlangan sesebuah universiti itu seharusnya dikongsi bersama di mana masyarakat sekeliling harus menerima manfaat dari limpahan khazanah ilmu universiti.

Dalam petikan teks ucapan YAB Menteri Besar Johor sempena Konvokesyen UTM ke 55 pada 24 Oktober 2015 ada menyebut, “Universiti terbaik adalah universiti yang mencurahkan segala usahanya untuk amal dan bakti. Bukan martabat, bukan juga upacara. Misi serta segala sumbernya mesti digembleng untuk membantu penyelesaian masalah manusia sejagat. Bukan mengejar gelaran dan prestij. Universiti punya tanggungjawab pada masyarakat, pada semua kaum, semua lapisan masyarakat. Yang miskin, yang berbeza aliran kepercayaan dan politik, dan pada masyarakat antarabangsa. Masyarakat sekeliling dan negara ini harus menerima manfaat dari limpahan khazanah ilmu universiti. Universiti, secara tradisinya adalah institusi yang paling berpengaruh dalam masyarakat”.
Justeru, Perpustakaan UTM bukan sahaja bertangungjawab di dalam membangunkan koleksi yang bersesuaian dengan keperluan pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan malah perkhidmatan kepada masyarakat yang secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan nusa dan bangsa.

Kegemilangan negeri Johor dalam bidang persuratan dan intelektual terserlah dalam zaman Johor moden. Muncul tokoh-tokoh intelektual yang tersohor dengan sumbangan penulisan mereka. Antaranya termasuklah Dato’ Muhammad Said Sulaiman, Dato’ Muhammad Munshi Ibrahim, Dato’ Onn Jaafar, Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid, Profesor Ungku Omar, Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Profesor Syed Hussein Al-Attas, Profesor Syed Husin Ali, Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan, Datuk Dr. Usman Awang, Datuk Dr. Hassan Ahmad, Dato’ Abdul Rahim Ramli dan ramai lagi. Justeru, Kerajaan Johor komited untuk menjayakan inisiatif menjadikan Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa. Kerajaan Johor berhasrat untuk menjadi pusat tumpuan dunia dalam kajian peradaban Melayu. Dalam pembentangan Belanjawan 2015, Kerajaan Johor menganjurkan agar Johor menjadi Pusat Kebudayaan Melayu berkepentingan global. Kerajaan Johor pada ketika itu bersedia untuk menjadi pusat rujukan bagi pengkaji yang ingin mengkaji tentang pemikiran, budaya, nilai, dan tamadun Melayu (Mohamed Khalid Nordin, 2017).

Dalam era ini, kepimpinan intelektual telah mendapat pengiktirafan dalam Kerajaan Johor. Kerajaan Johor telah mengadakan kerjasama yang erat dengan pihak universiti awam dan swasta dengan tertubuhnya Institut Inovasi Strategik Johor (IISJ). IISJ menerusi pasukan penyelidik universiti berperanan menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memacu pertumbuhan ekonomi Johor sebagai kuasa ekonomi Selatan berasaskan pengetahuan, inovasi dan kreativiti. Atas dasar itu, Perpustakaan UTM menyahut serta menyokong dasar Kerajaan Negeri Johor bagi menjayakan pengumpulan pelbagai genre bahan ilmiah yang dinamakan Koleksi Khazanah Intelektual Johor. Ia meliputi pelbagai bahan dalam bentuk monograf, laporan penyelidikan, bab dalam buku (book chapters), jurnal, tesis, hasil artifak ilmiah, keratan akhbar dan majalah. Penubuhan koleksi ini adalah bertujuan mengumpul seberapa banyak bahan-bahan ilmiah yang berkaitan negeri Johor. Ianya bagi membolehkan para mahasiswa dan orang awam untuk membuat rujukan mengenai negeri Johor dalam pelbagai disiplin ilmu.

Pada 2014 Perpustakaan UTM telah membangunkan Koleksi Raja Zarith Sofiah yang ditempatkan di bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM Johor Bahru. Ia merupakan himpunan koleksi peribadi bahan-bahan bacaan yang disumbangkan oleh Tuanku Permaisuri Johor, DYMM Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah berjumlah lebih 2,600 naskhah. Perpustakaan UTM juga turut menempatkan hasil kajian ilmiah pensyarah, penyelidik dan pelajar UTM yang mengkaji tentang sejarah serta pembangunan negeri Johor. Ia terdiri daripada tesis, laporan penyelidikan dan lukisan terukur. Bertitik tolak daripada justifikasi inilah maka tercetusnya usaha mengumpul, mengurus dan memperkukuhkan koleksi yang berkaitan dengan negeri Johor secara komprehensif dan sistematik. Adalah menjadi harapan agar khazanah ini dapat dipelihara sebagai rujukan kesarjanaan ilmu untuk generasi di masa hadapan. Mulai Januari 2018 usaha pembangunan koleksi ini dilaksanakan secara serius dan dinamakan sebagai Koleksi Khazanah Intelektual Johor. Antara ojektif utama penubuhan Koleksi Khazanah Intelektual Johor adalah :-

a. Mewujud, membina serta menguruskan secara komprehensif khazanah ilmu berkenaan negeri Johor dalam pelbagai bentuk maklumat, medium dan subjek.

b. Memperkaya koleksi Perpustakaan yang akan menambah nilai kepada koleksi perpustakaan, kesarjanaan dan tradisi ilmu untuk diwarisi generasi yang akan datang.

c. Berhasrat untuk menjadi pusat rujukan utama bagi koleksi negeri Johor sebagai satu bentuk filantropi atau wakaf pendidikan yang dapat memacu perkembangan dunia penyelidikan negara.

d. Menjalin hubungan kerjasama yang erat di antara Perpustakaan UTM dengan agensi kerajaan negeri, swasta serta NGO melalui perolehan bahan keilmuan.

Usaha pembangunan dan pengumpulan koleksi ini dilaksanakan secara serius dengan kerjasama pelbagai pihak. Perpustakaan UTM turut menjalankan penyelidikan secara komprehensif bagi mengesan koleksi yang berkaitan termasuklah menjalinkan rangkaian strategik bersama Yayasan Warisan Johor, badan-badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan juga sumbangan daripada orang perseorangan. Secara umumnya Koleksi Khazanah Intelektual Johor merangkumi bidang perkara seperti di bawah :

a. Koleksi Intelektual Johor
Ia merupakan himpunan koleksi buku, tesis, penulisan ilmiah dan bahan audio visual yang berkaitan dengan pembangunan dan kemajuan negeri Johor dalam bidang pentadbiran, ekonomi dan pelbagai perspektif. Ianya termasuklah penerbitan, laporan Badan Kerajaan serta korporat negeri Johor.

b. Koleksi Menteri Besar Johor
Ia merupakan himpunan koleksi sejarah kepimpinan Pemimpin tertinggi Johor dalam apa juga bentuk penerbitan yang dihasilkan oleh setiap Menteri besar Johor semasa tempoh pentadbirannya.

c. Koleksi Sejarah Johor
Ia merupakan himpunan koleksi sejarah lama Johor dalam bentuk monograf, buku nadir dan manuskrip.

d. Koleksi Alam & Seni Bina Johor
Ini merupakan himpunan koleksi berkenaan maklumat geografi, alam semulajadi serta seni bina bangunan di negeri Johor.

Usaha berterusan Perpustakaan UTM membuahkan hasil apabila inisiatif pembangunan Koleksi Khazanah Intelektual Johor ini secara rasminya dilancarkan pada 26 Mac 2018 oleh YAB Dato’ Mohamed Khaled Bin Nordin, mantan Menteri Besar Johor yang ke 15. Koleksi ini ditempatkan di aras 1, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM Johor Bahru.

Secara keseluruhannya, inisiatif ini membuka lembaran baru kepada Perpustakaan UTM apabila berjaya menerokai satu cabang baru dalam usaha memperkayakan Koleksi Perpustakaan. Antara harapan dan perancangan jangka panjang Perpustakaan UTM adalah :-

a. Menumpukan kepada inisiatif strategik yang mampu mencipta keunikan agar Perpustakaan UTM menjadi pusat rujukan utama para penyelidik dari seluruh dunia khususnya berkenaan maklumat dan sejarah negeri Johor.
b. Menerokai peluang kerjasama strategik yang lebih luas di dalam aktiviti pengesanan bahan, maklumat yang berkaitan negeri Johor.
c. Mengenalpasti serta mengumpul artifak serta bahan nadir yang tinggi nilai sejarahnya
d. Merakam dan mengabadikan sejarah lisan tokoh-tokoh intelektual Johor dalam bentuk penulisan dan video.
e. Menubuhkan satu kumpulan Penyelidik Khazanah Johor yang akan menjalankan penyelidikan khusus menjurus kepada sesuatu topik atau isu yang akan diterjemahkan dalam bentuk pameran dan dokumentasi.
f. Membuka peluang kepada orang perseorangan, kumpulan berkepentingan dan syarikat GLC serta swasta untuk memberi sumbangan endowmen atau waqaf dalam bentuk kewangan atau buku untuk memperkayakan Koleksi Khazanah Intelektual Johor.

Walau bagaimanapun, Perpustakaan UTM sedar akan tanggungjawab serta cabaran yang perlu diharungi bagi memastikan inisiatif ini diteruskan. Antaranya :-

a. Keperluan untuk menyediakan ruang serta kaedah penyimpanan dan pemeliharaan terbaik bagi koleksi ini kerana ia memerlukan pencahayaan, suhu yang terkawal selain daripada keselamatan bahan itu sendiri.
b. Keperluan kepada peruntukan kewangan yang khusus agar inisiatif ini dapat dilaksanakan secara berterusan.
c. Keperluan untuk menyediakan staf terlatih di dalam usaha pengesanan, pemeliharaan dan pemuliharaan bahan.

Secara kesimpulannya, penubuhan koleksi ini diharap dapat menjadi pelengkap kepada usaha Kerajaan Johor untuk menjadi pusat kebudayaan melayu berkepentingan global dan seterusnya menyumbang kepada peradaban bangsa.

Artikel oleh Pn Noraziah Sharuddin & Pn KhairulBahiyah Yaakub

Share this :