Pada 6 Ogos 2020 (Khamis) telah berlangsung satu program pembudayaan ilmu di Bilik Seminar 3, Aras 4, Bangunan Perpustakaan UTM, Johor Bahru. Program K-Sharing yang bertajuk “Haji yang Tertangguh” ini adalah sinergi di antara Perpustakaan UTM dan Pusat Islam UTM. Menariknya program ini telah dibawakan secara langsung melalui Facebookdan berjaya mendapat sebanyak 5.1k tontonan. Program dikendalikan oleh Puan Hajah Noor Hadayah binti Haji Ahmad, Pegawai Psikologi UTM daripada Pusat Kaunseling UTM, yang juga merupakan Pembimbing Ibadah Haji Tanah Air (PEKTA), Lembaga Tabung Haji dan diserikan dengan panel jemputan iaitu Al-Fadhil Ustaz Ellyeen Amineen bin Mohd Salleh, Penceramah Bebas dan Mutawwif Umrah Qasswa Travel & Tours Sdn Bhd.
Umumnya, penularan wabak Covid-19 telah menimbulkan risiko kesihatan awam yang serius di seluruh dunia. Wabak ini telah menjangkiti lebih 10 juta orang manakala lebih 400 ribu telah terkorban. Oleh yang demikian, semua urusan berkaitan operasi haji bagi Musim Haji 1441H/2020M telah ditangguhkan selaras dengan keputusan Kerajaan Malaysia melalui pengumuman rasmi oleh YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah untuk menangguhkan penghantaran jemaah haji dari Malaysia ke Tanah Suci ekoran penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia termasuk di Arab Saudi. Menelusuri soalan yang diajukan mengenai sejarah penutupan Masjidil Haram, ternyata ini bukanlah kali pertama, malah ia pernah tergendala lebih kurang 40 kali di atas beberapa faktor yang mana di antaranya adalah berlakunya krisis politik, krisis matawang dan juga berlakunya wabak sehingga boleh mendatangkan mudarat kepada jemaah.
Menyentuh tentang hikmah kepada para Jemaah yang telah tertangguh hajinya tahun ini, semestinya ia bukan suatu yang mudah untuk diterima. Saat surat tawaran telah diterima dan bersedia untuk menjejakkan kaki ke bumi suci Allah, kegembiraan itu direntap dengan berita duka ini. Namun begitu, Ustaz Ellyeen telah mengupas hikmah berita penangguhan ini dengan amat bijak. Segala-galanya bertitik tolak daripada kesediaan dan redha seseorang terhadap ujian Allah s.w.t. Apabila datangnya ujian, beberapa perkara perlu diambil kira. Yang pertama adalah kenal akan siapa yang menguji kita. Yang kedua, bagaimana keadaan kita saat menerima ujian tersebut. Andai kita kenal dengan siapa sang pemberi ujian, pasti redha itu akan datang sendiri. Justeru lengkapkan diri kita dengan ilmu dan hati yang bersih. Seberapa besar ujian yang diterima, berdamailah dengan takdir kerana mungkin sahaja ujian tersebut yang menjadi asbab kepada ganjaran lebih baik selepas ini.
Ustaz Ellyeen turut berkongsi pengalaman haji yang dilaluinya pada 2017. Walaupun beliau merupakan mutawwif berpengalaman, namun pelaksanaan haji adalah sangat berbeza dan mencabar. Justeru, bakal jemaah perlu sentiasa mempersiapkan diri untuk mendalami ilmu sehinggalah tiba jemputan dari Allah s.w.t. Sebagaimana analoginya, air yang sedang mengalir akan bertakung di tempat yang paling rendah. Maka begitulah manusia, rendahnya hati di dalam menuntut ilmu itu adalah lebih baik berbanding dalam keadaan ia meninggi diri.
Sebagai penutup, Ustaz Ellyeen menyeru semua pendengar untuk mempersiapkan diri sebagai tetamu Allah dengan meletakkan niat dan keazaman yang kuat untuk menunaikan haji. Persiapkan diri dengan perancangan untuk keluarga yang akan ditinggalkan. Selain itu, zahirkan perasaan untuk menunaikan haji itu melalui sebutan. Salah satu amalannya adalah dengan berkirim doa melalui jemaah yang akan menunaikan haji atau umrah.Yakinlah bahawa jemputan dari Allah itu akan datang pada waktu yang tidak disangka-sangka. Kemudian, zahirkan pula dengan tindakan seperti membuat pendaftaran haji, mengikuti kursus haji dan teruskan berdoa tanpa putus asa. Semoga dengan asbab usaha dan kesungguhan ini, kita berkesempatan menjadi Dhuyufurrahman – tetamu agung Allah pada suatu hari nanti.