Conquering Everest : Do or Die Mission, sebuah karya nukilan Saudara Azim Afif Ishak, Alumni UTM dari Fakulti Komputeran, UTM yang . menghimpunkan pengalaman beliau menawan Everest melalui misi UTM Everest-Tibet pada 2016. Perpustakaan UTM mengambil peluang ini dengan menjemput beliau dalam satu sesi Kupasan Buku Bersama Penulis pada 14 Julai 2020 (Selasa) menerusi live streaming di Facebook Perpustakaan UTM.
Selaku Ketua Misi, Saudara Azim Afif mengakui bahawa perjalanan menuju ke puncak Everest itu bukan suatu perkara yang mudah. Misi itu pernah ditangguhkan pada 2014 berikutan kejadian runtuhan salji dan gempa bumi pada tahun 2015. Namun berbekalkan keazaman dan semangat juang yang tinggi, puncak bersalji setinggi 8,848 meter itu berjaya ditawan pada tahun 2016.
Setiap aspek ilmu dan pengalaman pendakian berjaya dikongsi kepada pembaca melalui naskhah ini. Diselitkan juga catatan perjalanan kehidupan penulis semasa bergelar mahasiswa UTM. Ada disebutkan bahawa “Buku ini bukan tentang cerita saya saja, malah ramai wajah-wajah alumni UTM yang bersama-sama dalam kumpulan ekspedisi ini…”
Buku ini pada awalnya ditulis dalam Bahasa Melayu melalui bimbingan novelis terkenal Ahadiat Akashah. Ia kemudiannya diadaptasi ke dalam Bahasa Inggeris oleh pihak penerbit dengan harapan buku ini boleh menembusi pasaran antarabangsa.
Azim Afif merupakan Pengarah Eksekutif Syarikat Peak Journey iaitu sebuah syarikat yang mengendalikan aktiviti sukan pendakian. Beliau adalah penerima anugerah Bintang Ahli Cemerlang Semangat Jerai Kedah (A.S.K.) sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-89, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada tahun 2017. Penulis telah berpeluang mengadap ke bawah Almarhum Sultan Kedah bagi menceritakan detik pengalaman mencabar itu kepada Tuanku. Maka tercetuslah ilham agar pengalaman dan kejayaan tersebut dibukukan untuk tatapan dan inspirasi masyarakat terutama anak muda Malaysia.
Rancangan asalnya, buku ini akan dipasarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2020. Namun, usaha itu tergendala ekoran berkuatkuasanya arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disebabkan oleh pandemik Covid-19. Antara petikan menarik pencetus semangat yang diabadikan dalam buku ini adalah “Setiap orang ada ‘Everest’ dalam hidupnya, semua orang nampak Everest bila kita berada di puncak, tetapi orang tidak jelas tentang kesusahan dan kepayahan untuk mendaki sampai ke puncak”.
Penceritaan dalam buku ini bukan sahaja menyentuh tentang pengalaman pendakian malah diselitkan dengan kisah kemanusiaan. Harapan penulis agar sukan pendakian di Malaysia terus berkembang dengan cemerlang di masa hadapan.
Disediakan oleh Norashikin Binti Johari