PENGERANG, 6 November – Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) telah menganjurkan JPUTM Management Retreat 2026 pada 5 hingga 6 November 2026 bertempat di Amerald Resort Hotel, Pengerang, Johor. Program ini menjadi platform strategik bagi barisan pengurusan JPUTM untuk menilai pencapaian semasa, menyelaraskan keutamaan serta merangka hala tuju dan pelan tindakan JPUTM bagi tahun 2027, selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030.
Program dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Ketua Pustakawan UTM, Puan Khairulbahiyah Yaakub, yang turut menyampaikan taklimat berkaitan UTM ASCEND dan Pelan Tindakan 2027. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa retreat ini bukan sekadar pertemuan tahunan, sebaliknya merupakan platform penting untuk menilai kekuatan dan cabaran organisasi, mengenal pasti peluang penambahbaikan serta menentukan inisiatif strategik yang mampu memberikan impak kepada universiti.

Beliau turut menekankan bahawa peranan perpustakaan masa kini telah berkembang melangkaui fungsi tradisional sebagai penyedia koleksi dan kemudahan maklumat. JPUTM perlu terus memperkukuh kedudukannya sebagai rakan strategik universiti dalam menyokong kecemerlangan penyelidikan, pembelajaran dan pengajaran, meningkatkan keterlihatan hasil penyelidikan serta memperkasakan pengurusan ilmu dan data.
Perbincangan sepanjang retreat memberi tumpuan kepada lima fokus strategik utama yang akan menjadi panduan dalam membentuk keutamaan, inisiatif dan tindakan JPUTM, iaitu Kecemerlangan Penyelidikan, Budaya Ilmu, Kepimpinan Warisan, Perpustakaan Masa Hadapan dan Reputasi Global.
- Kecemerlangan Penyelidikan
JPUTM terus memperkukuh peranannya sebagai rakan strategik penyelidikan universiti melalui penyediaan akses kepada sumber maklumat berkualiti serta sokongan terhadap pengurusan dan perkongsian data penyelidikan. Antara inisiatif yang diberi perhatian ialah pemerkasaan Open Science dan Pengurusan Data Penyelidikan (Research Data Management). Usaha meningkatkan keterlihatan penyelidik UTM turut menjadi keutamaan, termasuk sasaran mengoptimumkan profil dan keterlihatan penyelidik universiti bagi memperluas capaian hasil penyelidikan serta meningkatkan impak sitasi di peringkat global.

2. Budaya Ilmu
Pembudayaan ilmu menjadi asas kepada pembentukan komuniti universiti yang berpengetahuan, kreatif dan inklusif. JPUTM berhasrat memperluas pengalaman pembelajaran melalui program literasi maklumat, perkongsian ilmu dan penglibatan komuniti. Antara contoh inisiatif yang mencerminkan fokus ini adalah program Citizen Science yang menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti penyelidikan dan perkongsian ilmu. Pendekatan ini memperlihatkan peranan perpustakaan bukan sahaja sebagai pusat sumber maklumat, malah sebagai pemangkin pembelajaran sepanjang hayat.
3. Kepimpinan Warisan
Warisan ilmu dan identiti universiti merupakan aset penting yang perlu dipelihara serta diketengahkan kepada generasi akan datang. Melalui fokus ini, JPUTM memberi perhatian kepada usaha pemeliharaan, pendigitalan dan pemerkasaan koleksi warisan universiti. Antara inisiatif yang dirancang termasuk pendigitalan rekod arkib universiti, pengukuhan peranan Muzium Warisan serta pembangunan konsep Cultural Intelligence & Heritage Hub. Inisiatif ini diharap dapat memperluas akses kepada khazanah sejarah dan warisan UTM, di samping menjadikan perpustakaan sebagai pusat rujukan serta penerokaan identiti dan warisan universiti.
4. Perpustakaan Masa Hadapan
Seiring perubahan teknologi dan keperluan pengguna, JPUTM perlu terus meneroka pendekatan baharu dalam penyampaian perkhidmatan perpustakaan. Fokus ini merangkumi pendigitalan proses kerja, penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), serta pembangunan ruang pembelajaran inovatif. Salah satu contoh utama ialah pembangunan Library Makerspace sebagai ruang pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang menggalakkan kreativiti, kemahiran digital, penerokaan AI dan penghasilan inovasi. Inisiatif seperti E-Sports Hub turut mencerminkan usaha memperluas pengalaman pengguna melalui ruang dan aktiviti berasaskan teknologi.

5. Reputasi Global
Dalam memperkukuh kedudukan UTM di persada antarabangsa, JPUTM turut memainkan peranan melalui jaringan kerjasama strategik, perkongsian kepakaran dan penyediaan akses kepada sumber ilmu global. Antara usaha yang boleh menyumbang kepada fokus ini ialah penyediaan akses kepada pangkalan data dan sumber elektronik berimpak melalui kerjasama serta langganan konsortium juga menjadi antara pendekatan untuk menyokong komuniti penyelidikan dan pembelajaran universiti.
Sepanjang dua hari penganjuran, para peserta terlibat dalam beberapa sesi perbincangan kumpulan bagi meneliti isu dan cabaran semasa pelaksanaan pelan tindakan, mengenal pasti inisiatif berkeutamaan serta merangka strategi pelaksanaan yang bersesuaian. Pendekatan World Café turut dilaksanakan bagi menggalakkan perkongsian idea, pertukaran pandangan dan perbincangan secara lebih interaktif merentas bahagian.
Pada hari kedua, program diteruskan dengan pembentangan hasil perbincangan oleh empat kumpulan yang mewakili Bahagian Perancangan dan Pembangunan (BPP), Bahagian Perkhidmatan (BPK), Bahagian Ilmu Pengetahuan Institusi (BIP) serta Bahagian Automasi dan Multimedia (BAM). Sesi ini menjadi wadah untuk setiap bahagian berkongsi cadangan, keutamaan dan perancangan strategik masing-masing dalam menyokong hala tuju keseluruhan jabatan.

Salah satu pengisian penting pada hari kedua ialah sesi Analisis VIA Strengths dan rumusan retreat yang disampaikan oleh Ketua Pustakawan. Sesi ini memberi penekanan kepada pendekatan Strength-Based Leadership dalam mengenal pasti dan memanfaatkan kekuatan individu bagi membina pasukan serta organisasi yang lebih berkesan.
Aspek kepimpinan, daya tahan diri, pengurusan tenaga serta kesediaan untuk keluar daripada zon selesa turut diketengahkan sebagai elemen penting dalam menghadapi perubahan organisasi. Pendekatan ini menggalakkan warga pengurusan mengenali potensi diri, memanfaatkan kekuatan pasukan dan membina budaya kerja yang lebih positif, fleksibel, serta berdaya tahan.
Penganjuran JPUTM Management Retreat 2026 diharapkan dapat memperkukuh kesepaduan barisan pengurusan dalam menentukan keutamaan dan tindakan strategik jabatan. Hasil perbincangan sepanjang retreat ini akan menjadi asas kepada penghasilan Pelan Tindakan JPUTM 2027 yang lebih strategik, berfokus, realistik dan berimpak tinggi, sekali gus menyokong aspirasi serta kecemerlangan Universiti Teknologi Malaysia.