Program K-Sharing ‘Ohhh…Englishku!!!! Chit Chat Bersama Cikgu Kita dengan topik ‘Anxiety and Creating  Opportunities in Using English’ telah diadakan pada 11 Ogos 2020 bersempena Hari Kokurikulum Mingguan UTM. Program ini dilaksanakan melalui aplikasi ZOOM dan ditonton secara langsung di facebook Perpustakaan UTM. Panel jemputan adalah Cik Siti Khadijah binti Abdul Wahab dan Cik ‘Atiqah binti Shaharuddin. Mereka adalah Guru Bahasa dari Akademi Bahasa, Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.

Panel membincangkan isu pembelajaran, pendedahan awal serta cabaran dalam pembelajaran Bahasa Inggeris. Panel berkongsi pengalaman mereka mendapat pendedahan awal kepada penggunaan Bahasa Inggeris. Cikgu ‘Atiqah berkongsi pengalaman beliau membesar di New Zealand selama tiga tahun kerana mengikut ayahnya menyambung pelajaran ke peringkat PhD. Kerjaya ayahnya sebagai seorang pensyarah membolehkan beliau mendapat pendedahan awal melalui pembacaan daripada buku dan filem dalam Bahasa Inggeris. Setelah pulang ke tanah air, beliau meneruskan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan rakan-rakan lain tanpa rasa kekok.

Cikgu Siti pula membesar di Singapura dalam sebuah keluarga berpendapatan rendah. Beliau belajar Bahasa Inggeris di sekolah sahaja dan berbahasa Melayu di rumah. Walaupun beliau menghadapi banyak cabaran dalam usaha mempelajari Bahasa Inggeris, namun ianya bukanlah menjadi penghalang untuknya berusaha mempelajari bahasa ini. Salah satu pilihan yang ada adalah dengan meminjam buku dari perpustakaan awam. Bak kata pepatah hendak seribu daya, tak nak seribu dalih.

Cikgu ‘Atiqah menyatakan bahawa membaca adalah salah satu cara untuk memupuk minat belajar sesuatu bahasa dan cabaran utama adalah perasaan bosan. Ibubapa dan guru memain peranan penting dalam memupuk minat dalam membaca. Contohnya, guru menggunakan kaedah roleplay dalam sesi penceritaan bagi memudahkan pelajar cepat memahami. Sumber bahan bacaan sekarang meliputi pelbagai jenis seperti e-books, Facebook, Instagram, podcast dan sebagainya. Beliau memberi contoh, program Intenpro (Interactive English Program) anjuran Pejabat Pendaftar UTM adalah salah satu program yang mampu memupuk minat staf untuk menambahbaik penguasaan Bahasa Inggeris.

Panel juga berkongsi kaedah untuk menangani perasaan gemuruh dalam menguasai Bahasa Inggeris. Ramai beranggapan bahawa Bahasa Inggeris amat sukar untuk dipelajari dan takut melakukan kesalahan ketika menggunakannya.

Sistem pembelajaran Bahasa Inggeris yang dilaksanakan ketika ini merupakan satu model atau silibus yang telah disusun dengan sistematik tetapi kurang berkesan untuk menarik murid-murid menyukai bahasa ini. Pembelajaran Bahasa Inggeris perlu dibuat dalam suasana yang ceria agak pelajar berasa seronok bagi memupuk minat yang berpanjangan.

Share this :