Satu program sinergi Persatuan Alumni UTM dan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur pada 5 Ogos 2020 bertajuk Bicara Santai “Alumni dan Buku” yang telah diadakan secara siaran langsung dari R.E.A.D Cafe, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur dan dipancarkan untuk tontonan umum menerusi Facebook Live UTM Library Kuala Lumpur. Panel program terdiri daripada En. Mohd Zin Omar dengan buku beliau yang bertajuk “Abah dan Mak Poi –Iceland UK” dan En. Ahmad Zubir dengan buku yang bertajuk “Tuhan Beri Aku Sehari Lagi” hasil tulisannya sendiri.

Di awal program, Puan Sharifah Ezhatul Imma Syed Zainal Abidin selaku moderator memberi peluang kepada penyampai untuk memperkenalkan diri secara ringkas. Sesi dimulakan dengan En. Mohd Zin Omar atau lebih dikenali dengan Abah Zino, Alumni UTM telah mengikuti program Diploma Awam (1976-1978) dan Ijazah Sarjana Muda (1981-1984) yang ditaja oleh biasiswa Datuk Bandar. Kini beliau sudah bersara selama 3 tahun di Jabatan Pelaksana dan Projek Khas, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

En. Ahmad Zubir menyampaikan buku yang bertajuk “Tuhan Beri Aku Sehari Lagi”

Manakala En. Ahmad Zubir yang juga Alumni UTM telah mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Awam (2015) dan seterusnya menyambung pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda (2018). Kini beliau bekerja sebagai Jurutera Proses di Syarikat Jurutera Perunding, Kg Atap Kuala Lumpur. Beberapa soalan turut diajukan sepanjang program ini dijalankan antaranya bagaimana melibatkan diri dalam bidang penulisan dan apakah inspirasi untuk menulis? En. Mohd Zin Omar memberitahu beliau memang gemar menulis dan memiliki blog yang mengulas pelbagai isu seperti pengalaman beliau ke Iceland dan dari situ, ramai mencadangkan untuk beliau mengabadikan pengalaman dalam buku. Buku pertama beliau diterbitkan sendiri dan seterusnya dijual.

Manakala, bagi En. Ahmad Zubir yang memegang prinsip “Everyone Is Artist”. Disifatkan beliau sebagai seorang yang rajin membaca, beliau pernah bercuti ke Amerika dan apabila pulang ke Malaysia, dengan kelebihan dalam menyusun ayat, beliau cuba untuk menulis. Penulis turut memberi kata-kata dorongan kepada mereka yang mempunyai minat dalam menulis. Menurut En. Mohd Zin Omar lagi, setiap orang boleh menghasilkan buku selagi mempunyai minat dan kebolehan menulis, jika bukan untuk pasaran tetapi menulislah untuk simpanan sendiri. Sementara En. Ahmad Zubir pula menyatakan perbanyakkan menulis sehingga orang lain mampu memahami apa yang dituliskan oleh kita dan jangan merasa puas hati dengan kesederhanaan yang kita miliki. Oleh itu, sentiasa pertingkatkan diri dari semasa ke semasa.

 

 

 

 

 

 

 

Share this :