Dua orang staf Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (UTM KL) iaitu En. Hairi Bin Aziz dan En. Muhammad Hanis Bin Rahim telah berkongsi ilmu melalui buku yang telah dibaca.  Program perkongsian buku staf siri 7 ini telah dijalankan di Wisdom Lounge, Perpustakaan UTM KL pada 9 September 2020 (Rabu).

En. Hairi Bin Aziz mengulas sebuah buku bertajuk Anda & Kereta : Cantik Belum Tentu Selamat

Pengulas pertama, En. Hairi Bin Aziz telah berkongsi buku bertajuk “Anda & Kereta : Cantik Belum Tentu Selamat”, hasil karya Dato’ Ir. Haji Mohamad Bin Dalib. Buku ini berbentuk teknikal banyak memberi panduan dan maklumat berkaitan penyelenggaraan kereta. Kenderaan perlu diselenggara dengan baik begitu juga emosi. Hal ini kerana kedua-duanya amat penting dalam memastikan sesuatu perjalanan itu selamat. Pengulas juga turut berkongsi tips penggunaan gear ‘N’ dan kepentingan untuk mengenali fungsi-fungsi butang  atau tanda-tanda isyarat yang terdapat di kereta sebelum memulakan perjalanan.

En. Muhammad Hanis Bin Rahim mengulas sebuah buku bertajuk Dasyatnya Energi Maaf, Tolong & Terima Kasih

Pengulas kedua ialah En. Muhammad Hanis Bin Rahim memilih buku bertajuk Dasyatnya Energi Maaf, Tolong & Terima Kasih ditulis oleh Aep Syaiful Hamidin. Menurut buku ini, ungkapan mudah ini tidak bermakna jika tidak dilafazkan secara ikhlas, kerana ia hanya akan membawa ungkapan yang kosong.

Buku yang mempunyai 5 bahagian ini, sentiasa mengingatkan bahawa perlunya berhati-hati dengan apa yang diucapkan dari mulut kerana boleh mengakibatkan kemudaratan kepada kehidupan dan persekitaran. Oleh itu, penulis mencadangkan adalah lebih baik untuk diam jika kesannya adalah negatif, manakala jika kesannya positif untuk diri dan persekitaran, adalah lebih baik untuk diluahkan agar ia dapat memanfaatkan kepada yang lainnya. Seperti kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Seeloknya kita semua hendaklah menjaga pertuturan bagi mengelakkan sebarang permasalahan dan menjaga hubungan sesama manusia.

Share this :