Sesi Read & Relax Online Siri 6/2020 telah diadakan pada 9 Jun 2020 dan rakaman boleh ditonton di saluran Youtube UTM Library Media, Perpustakaan UTM. Sesi online ini menampilkan Prof. Madya Dr. Siti Aisyah Binti Abdul Rahman, Pengerusi Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia. Beliau mengulas buku berjudul “Nota Fikir Untuk Zikir” oleh Pahrol Mohamad Juoi. Pengulas tertarik dengan buku ini kerana bahasanya santai dan ayat digunakan mudah difahami. Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian. Bahagian 1: Iktibar kisah dulu-dulu mengisahkan cerita rakyat yang merupakan suara hati orang bijaksana untuk mendidik umat. Contohnya kisah si tanggang, arnab dan kura-kura dan batu belah batu bertangkup. Banyak iktibar dan pengajaran yang boleh diambil dari kisah-kisah ini dari sudut nilai agama serta sosial dalam setiap kisah. Setiap paparan disertai dengan huraian yang mendalam dari aspek akidah, syariat dan akhlak. Terdapat sepuluh buah (10) cerita dan kisah teladan yang boleh membuatkan hati pembaca terkesan dengan aspek moral.

Bahagian 2: Berguru dengan Alam. Dalam bab ini, penulis mengajak pembaca untuk merenungi kejadian alam. Alam semesta ini dijadikan bukan untuk sia-sia tetapi boleh menjadi sebaik-baik guru kepada manusia. Penulis mengingatkan supaya manusia hidup seperti lebah, walaupun digeruni sebab bisanya tetapi hidup sentiasa mencurah bakti. Penulis juga mengajak pembaca untuk melihat nikmat tanpa melupakan Pemberi nikmat, dengan menjadikan alam sebagai Maha Karya Tuhan yang sentiasa berbicara dengan manusia tentang keagungan Penciptanya. Bahagian 3: Kata Dikota. Bab ini banyak memuatkan kata-kata yang indah dan benar, yang mampu mengubat rasa yang gundah serta membuat fikiran menjadi lebih besar, seterusnya mampu mengubah jiwa. Mutiara kata menggambarkan kebijaksanaan manusia sepanjang zaman. Apabila manusia mendapat kejayaan, jangan lupa di mana bumi berpijak di situ langit dijunjung dan sentiasalah merendah diri seperti resmi padi, semakin tunduk semakin berisi. Buku ini ditulis dengan banyak mesej tersurat dan tersirat dan mengajak pembaca berfikir.

Share this :