Sesi Read & Relax Siri 12/2020 di Perpustakaan UTM Johor Bahru telah diadakan pada 16 Julai 2020 menggunakan aplikasi ZOOM dan ditonton secara lansung melalui Facebook live Perpustakaan UTM. Sesi kali ini menampilkan dua (2) orang pengulas iaitu Ustaz Amir Irsyad bin Saim, Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam, Jabatan Canseleri, UTM dan Puan Mazlyna binti Rosly, Penolong Pendaftar, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), UTM.

Ustaz Amir Irsyad bin Saim mengulas buku bertajuk Perang-perang Rasulullah

Pengulas pertama, Ustaz Amir Irsyad Bin Saim mengulas buku berjudul “Perang-perang Rasulullah” oleh Zul Aimran Omar. Buku ini mengetengahkan siri peperangan Nabi Muhammad SAW dalam usaha mempertahankan Islam apabila digugat oleh pihak musuh. Buku ini menceritakan kenapa kita perlu berperang dan kenapa kita perlu berjihad. Tiap-tiap satu peperangan yang dihadapi oleh Baginda dirancang dengan teratur. Baginda sebenarnya yang terlebih dahulu menggunakan strategi terbaharu dan terkini, sebelum ia ditiru oleh musuh-musuh Islam dengan menggunakan nama yang berbeza. Secara langsung, ia menjadi satu bukti bahawa umat Islam mampu menggegarkan dunia.

Ringkasan dari bab 1, terdapat 4 fasa dalam peperangan, antaranya dua fasa yang disebut, fasa pertama ialah sebelum berperang, umat Islam perlu berdakwah dengan menyampaikan dengan kata-kata. Fasa kedua ialah diizinkan berperang kerana umat Islam ditindas dan perlu untuk mempertahankan diri. Cara-cara solat semasa perang, perkara yang dilarang dilakukan semasa di dalam peperangan contohnya tidak dibenarkan memusnahkan tanaman dan tidak membunuh warga emas dan kanak-kanak. Tujuan peperangan bukan untuk membunuh tetapi untuk mempertahankan diri dan berjuang demi menegakkan agama Islam.

Ini dapat dibuktikan daripada 27 peperangan yang dinyatakan, hanya 400 lebih sahaja kematian musuh Islam yang dicatat dan peperangan merupakan pilihan terakhir. Pengulas menyatakan peperangan Rasulullah bukan sekadar perang sahaja, tetapi Rasulullah menekankan tentang akhlak, contohnya tidak membunuh saudara sendiri dan tidak menyeksa tahanan perang. Penyusunan strategi di dalam peperangan misalnya mencari sumber air untuk kegunaan ketika berperang. Terdapat juga statistik perang yang ditulis oleh penulis misalnya jumlah yang syahid dan jumlah peperangan yang berlaku. Dengan gaya persembahan santai, diselangi ilustrasi, info ringkas peristiwa penting, taktik menewaskan musuh, dan kronologi yang mencetuskan perang, pembaca pasti mudah memahaminya. Sirah Nabi merupakan panduan hidup kita sepanjang zaman.

Puan Mazlyna binti Rosly mengulas buku bertajuk Nyawa di-hujong pedang

Pengulas kedua iaitu Puan Mazlyna Binti Rosly mengulas buku berjudul “Nyawa di-hujong pedang” oleh Ahmad Murad. Buku tersebut adalah milik arwah ibu pengulas dan digunakan semasa di alam persekolahan untuk subjek Sastera. Buku ini merupakan cetakan ketujuh pada tahun 1997. Buku ini juga telah memenangi anugerah tempat pertama dalam Peraduan Mengarang Cerita anjuran Jabatan Penerangan Persekutuan Tanah Melayu  pada tahun 1946 dan terdapat cetakan versi bahasa Korea. Keperitan hidup pada zaman penjajahan yang mundur dan perubahan zaman kemerdekaan diceritakan sebahagian besar karya kesusasteraan Melayu.

Ringkasan cerita mengisah sepasang kekasih yang berkahwin, tetapi suaminya telah ditangkap dan dibawa pergi oleh askar Jepun kerana dianiaya oleh kawan baiknya sendiri. Diceritakan tentang seksaan yang diterima daripada askar Jepun dan pengakhiran kemenangan yang diperolehi disebabkan pihak Jepun menyerah kalah. Setiap buku mempunyai mesej yang tersendiri, apa pun terpulang kepada pembaca memilih sama ada ingin berkorban, berjuang, atau bertindak untuk tidak membahayakan orang lain. Kesan tauladan yang dapat diambil ialah kita perlu berbuat baik maka akan dapat balasan baik, kerana setiap perbuatan yang kita lakukan ada balasan yang setimpal dengannya. Buku yang bermanfaat untuk semua golongan membacanya. Gaya penceritaan dan penulisan yang dapat menyentuh hati pembaca. Penulis dapat menggarap kandungan dengan cara tersendiri walaupun di dalam bahasa klasik.

Share this :