Sesi Read & Relax Siri 4/2020 di Perpustakaan UTM Johor Bahru telah diadakan pada 27 Februari 2020 bertempat di Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah. Sesi kali ini menampilkan tiga orang pengulas iaitu Encik Mohd Faizal Bin Abdul Jalal, Encik Azizul Bin Azman dan Encik Shahrel Ahmad Bin Shuhel Ahmad.

Pengulas pertama, Encik Mohd Faizal Bin Abdul Jalal, Penolong Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor UTM mengulas sebuah buku berjudul “Start Up Nation : The Story Of Israel’s Economic Miracle” oleh Dan Senor dan Saul Singer. Buku ini merupakan hadiah daripada seorang sahabat. Buku ini berkisar mengenai ‘keajaiban’ ekonomi Israel yang mampu berkembang pesat walaupun dikelilingi oleh musuh yang berlainan ideologi terutamanya negara-negara Islam (secara geografi). Walaupun tiada sumber seperti minyak dan gas asli, Israel mampu menggerakkan ekonomi dengan menggunakan sepenuhnya sumber manusia yang ada.

Sikap serta daya saing masyarakat Israel itu sendiri yang tidak mudah mengaku kalah, mempunyai kekuatan mental yang tinggi, kreatif dan dominan telah banyak membantu mengukuhkan ekonomi mereka. Buku ini boleh dijadikan sebagai panduan dalam memperkasa aspek keusahawanan di Malaysia dengan mengambil contoh daripada masyarakat Israel seperti kepakaran mereka mendapatkan modal dan pelaburan melalui pemberian insentif dalam projek penswastaan. Buku ini juga bermanfaat sebagai rujukan oleh peniaga-peniaga kecil yang sedang tercari-cari kaedah untuk membina empayar perniagaan sendiri.

Selain itu, buku ini mungkin dapat memberi ilham kepada pembaca tentang perlunya seseorang itu mempunyai semangat juang yang tinggi serta kecerdasan minda bagi menjayakan sesuatu perniagaan mahupun pekerjaan yang diceburi. Pengarang juga menekankan prinsip budaya kerja yang menitik beratkan ‘jika ia salah, maka tetap salah’ walaupun ia dilakukan oleh seorang ketua. Perkara ini mendatangkan banyak kebaikan untuk semua. Gaya penulisan agak tinggi kerana berkisar mengenai ekonomi yang menggunakan terma-terma yang kurang digunapakai dalam kehidupan seharian. Namun begitu, sebahagian besar teks masih mampu difahami dengan mudah.

Pengulas kedua iaitu Encik Azizul Bin Azman, Pegawai Penyelidik, UTM-IRDA MaGICX UTM mengulas sebuah buku berjudul “I’m A Backpacker : Europe” oleh Khairul bin Abdullah. Buku ini dibeli sendiri oleh pengulas kerana beliau memang seorang yang suka melancong ke luar negara. Isterinya merupakan seorang warganegara Malaysia yang lahir di Eropah. Penulis buku ini merupakan salah seorang penulis kegemaran pengulas. Ini menguatkan lagi keinginan pengulas untuk memiliki buku tersebut. Buku ini mempunyai panduan tentang apa yang perlu dan tidak perlu dilakukan ketika bercuti.

Tips-tips mengenai tempat yang ingin dilawati serta cara bagaimana kita boleh bercuti secara maksimum dengan kos yang paling minimum juga sangat menarik untuk dibaca. Buku ini telah banyak membantu pengulas dalam menyediakan senarai semak keperluan yang perlu dibawa serta diuruskan sebelum bercuti bagi memudahkan perjalanan. Selain itu, buku ini dapat membantu kita membuat rujukan lebih lanjut mengenai negara yang ingin dilawati.

Buku ini memudahkan percutian dengan informasi penting yang membolehkan pembaca membuat persediaan awal. Rasa cemas juga boleh dikurangkan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini. Percutian juga akan menjadi lebih teratur dan menyeronokkan. Penggunaan bahasa yang amat mudah difahami. Gaya penceritaan juga lebih santai dan bersahaja, sesuai dengan ‘mood’ percutian yang dibawa.

Pengulas ketiga iaitu Encik Shahrel Ahmad Bin Shuhel Ahmad, Pegawai Tadbir, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar UTM mengulas sebuah buku berjudul “Fiqh Al-Sirah” oleh Muhamad Sa’id Ramadan Al-Buti. Ketika melanjutkan pengajian As-Sirah di salah sebuah Universiti di Jordan, pengulas diwajibkan memiliki buku Fiqh Al-Sirah sebagai salah satu medium rujukan. Apabila pulang ke Malaysia, pengulas membeli beberapa naskhah Fiqh Al-Sirah yang telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu.

Buku ini merupakan bahan rujukan terbaik mengenai sejarah hidup Nabi Muhammad SAW. Fiqh Al-Sirah jilid 1 menceritakan tentang cara pentadbiran Islam. Buku ini turut menyertakan hikmah dan pelajaran yang tersirat disebalik peristiwa yang berlaku ketika zaman Nabi Muhammad SAW menjadi Nabi dan Rasul. Buku ini wajar menjadi rujukan umat Islam sedunia tentang cara hidup, amalan dan sikap yang wajar ditunjukkan dan diterapkan dalam kehidupan umat Islam yang beriman dan bertaqwa.

Nabi Muhammad SAW sepatutnya dijadikan idola umat Islam kerana Rasulullah merupakan seorang yang mempunyai akhlak serta keperibadian terbaik. Buku ini memberi banyak manfaat dalam memperbaiki sahsiah diri serta meningkatkan keimanan individu yang membacanya kerana Islam merupakan agama terbaik dalam semua aspek kehidupan. Buku ini menggunakan bahasa yang mudah difahami dengan penghayatan rohani.

 

Share this :