Sesi Read & Relax Siri 6/2020 di Perpustakaan UTM Johor Bahru telah diadakan pada 12 Mac 2020 bertempat di Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah. Sesi kali ini menampilkan dua (2) orang pengulas iaitu Encik Dzulhelmi bin Mohd Razali dan Puan Siti Norulhana binti Hj Miskan.

Pengulas pertama, Encik Dzulhelmi bin Mohd Razali, Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan TNC (A&A) UTM mengulas sebuah buku berjudul “77 Inspirasi Gaya Penjawat Awam” oleh Rudy Ludinata. Pengulas memperolehi buku ini ketika menghadiri Konvensyen Pentadbir pada tahun 2019. Pengarang buku ini adalah Rudy Ludinata, salah seorang penceramah semasa program tersebut. Beliau membentang topik penampilan diri di kalangan penjawat awam. Pengarang merupakan Timbalan Pendaftar di Fakulti Perubatan, Universiti Putra Malaysia.

Buku ini memapar panduan bagi penampilan penjawat awam lelaki dan perempuan. Di dalam buku ini disertakan 77 tips penampilan diri bermula daripada hujung rambut sehingga hujung kaki. Antaranya adalah warna formal pakaian, corak, kasut, stokin, rawatan gigi, gaya rambut, bercukur dan lain-lain. Gaya pemakaian hendaklah sesuai mengikut masa dan situasi. Panduan yang diberikan sangat sesuai dimanfaatkan oleh penjawat awam dan ia sesuai dengan persekitaran pejabat / acara formal serta dapat membantu meningkatkan keyakinan diri ketika berhadapan di khalayak ramai. Pengarang juga berkongsi idea pemilihan warna yang sesuai untuk pakaian formal dalam situasi tertentu. Bahan bacaan yang santai sahaja sifatnya tetapi sangat sesuai untuk dijadikan sebagai panduan pembentukan imej penjawat awam.

Pengulas kedua iaitu Puan Siti Norulhana binti Hj Miskan, Pegawai Senireka Kanan, Bahagian Pemajuan, Jabatan TNC(P) berkongsi sebuah buku berjudul “Change Your Thinking” oleh Dr. Sara Edelman. Buku ini dibeli sendiri oleh pengulas dengan harga RM70. Pengulas tertarik dengan buku ini kerana rekabentuk grafik yang menarik. Buku ini mengandungi 11 topik yang menyentuh perkara yang berkait rapat dengan mengawal dan menangani tekanan. Pengulas hanya menfokuskan kepada 2 topik sahaja iaitu ‘Recognize Faulty Thinking’ dan ‘Taking Charge’ yang mampu meningkatkan kehidupan ke arah yang lebih positif. Menurut pengarang, tekanan bermula daripada diri sendiri. ‘Recognize Faulty Thinking’ bermaksud tidak membiarkan pemikiran orang lain memberi persepsi kepada sesuatu perkara. ‘Taking Charge’ pula adalah merujuk kepada tindakan membuat keputusan dalam sesuatu situasi.

Buku juga menyentuh aspek CBT iaitu ‘Cognitive Behaviour Treatment’. Antara kaedah yang dinyatakan oleh pengarang bagi mengelak tekanan adalah dengan menggunakan warna dan keinginan. Warna dapat memberi impak positif atau sebaliknya kepada seseorang. Selain itu, ‘stress & depression’ berpunca daripada diri sendiri. Kita sendiri yang perlu mengawal dan membendung tekanan dan masalah yang dihadapi. Kita perlu mengawal sesuatu situasi yang menyebabkan tekanan. Pengarang berpendapat tekanan dapat dikawal dalam diri sendiri dengan menghidari pemikiran dan emosi negatif.

Selain itu, seseorang yang mampu mengawal tekanan, mereka mampu mencapai kehidupan yang lebih seimbang dan bahagia. Pengulas juga banyak menghubungkaitkan topik-topik yang terdapat di dalam buku dengan kehidupan sebenar supaya dapat diaplikasi mengikut kesesuaian. Pengarang juga berkongsi idea mengenai kaedah menangani  tekanan dengan mengubah cara kita berfikir.

Share this :