Program Book Sharing UTM Kuala Lumpur (KL) Siri ke 18 ini dteruskan dengan menjemput dua pengulas iaitu  Encik Muhamad Aswat Bin Maula Zulkefli dari Advanced & Business Management (ABM) dan Puan Lina Madiha Binti Maulad Norhashim dari Research Management Centre (RMC) untuk berkongsi buku pilihan mereka. Program ini diadakan secara langsung menerusi platform Webex ke Facebook UTM KL Library Kuala Lumpur. Puan Ayesha Binti Mohd. Ezanee merupakan moderator pada kali ini.

Pengulas pertama adalah Encik Muhamad Aswat Bin Maula Zulkefli telah berkongsi buku bertajuk Petua Penjimatan Petrol ditulis oleh Faiz Al-Shahab, Shamsul Yunos. Menurut beliau, buku ini dipilih kerana bersesuaian dengan bidang kerja beliau selain ingin berkongsi ilmu bersama yang lain. Buku ini mengandungi maklumat yang diperlukan oleh semua pengguna jalan raya, iaitu berkaitan penjimatan minyak. Perkongsian menarik ini banyak memberikan tips berkenaan penjimatan minyak untuk dipraktikkan oleh semua. Antara tips dari penulis yang dikongsi dalam buku ini ialah memandu kenderaan pada had kelajuan yang optimum dan jangan membebankan kenderaan kerana faktor berat kenderaan turut mempengaruhi penggunaan minyak. Beliau turut menegur agar penukaran gear (manual dan auto) perlu dipelajari dengan baik kerana ia turut mempengaruhi kondisi kenderaan tersebut. Selain itu, etika ketika mengisi minyak yang mungkin berguna pada semua adalah isi minyak petrol pada waktu pagi, isi minyak ketika tangki tidak terlalu kosong dan elak  mengisi minyak dengan keadaan tergesa gesa. Menurut beliau lagi,  elakkan sikap terburu buru ketika membuka penghawa dingin dan jangan menggunakan suhu penghawa dingin yang minimum. Ini akan menyebabkan kemudaratan kepada kondisi kenderaan dan semestinya mengganggu kestabilan minyak tersebut. Sebelum mengakhiri perkongsian, beliau berharap ilmu ini dapat dimanfaatkan oleh semua sekaligus dapat  membantu penjimatan perbelanjaan seharian kita, sesuai dengan ekonomi sekarang.


Perkongsian diteruskan lagi dengan menjemput Puan Lina Madiha Binti Maulad Norhashim yang memilih buku Malaikat Di Barat, Syaitan Di Timur penulisan Haeme Hashim. Menurut penyampai, buku ini adalah hasil daripada pemerhatian penulis sepanjang pengalamannya di negara-negara Barat dan Timur. Antara yang dikongsi adalah perbezaan antara negara Barat dan Malaysia umpamanya kos inflasi dan kos sara hidup di UK adalah lebih rendah berbanding di Malaysia mengikut skala gaji rakyat. Ini jelas membawa maksud bahawa, rakyat Malaysia sendiri terbeban dengan kos sara hidup di Malaysia. Kesederhanaan bangunan kerajaan dan bangunan parlimen dapat dilihat di sana, tetapi berbeza di Malaysia keranan bangunannya gah dan tidak seiring dengan ekonomi di sini. Dalam kesederhanaan bangunan, mereka amat serius dalam pemeliharaan warisan sejarah serta budaya.


Walaubagaimanapun jaringan pengangkutan awam yang sangat baik terdapat di barat, sama seperti Malaysia yang memudahkan orang ramai menggunakannya sekaligus membantu mengurangkan kesesakan lalulintas. Kelebihan di barat yang tidak terdapat di Malaysia adalah dasar kemanusiaan dan kebajikan pekerja yang sangat dijaga serta waktu perniagaan disingkatkan supaya pekerja dapat meluangkan masa bersama keluarga dengan lebih panjang. Berbeza di Malaysia, waktu perniagaan adalah lebih panjang dan terdapat sesetengah perniagaan dibuka 24jam untuk memberi kemudahan kepada orang lain selain untuk menjana pendapatan lebih untuk negara dan keluarga. Sebelum mengakhiri perkongsian, penyampai menyarankan untuk membaca buku ini sekaligus dapat mengubah persepsi awal kita terhadap negara Barat dan Timur. Apa yang didengari dan dilalui itu tidak lah sama dan kita sebagai rakyat Malaysia perlu menjadikan Barat sebagai negara contoh dari segi cara mereka menjana kestabilan ekonomi dan sebagainya.

 

 

Share this :