Book Sharing Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (UTM KL) diteruskan lagi untuk siri yang terakhir bagi tahun 2020 dengan menjemput dua pengulas untuk berkongsi buku iaitu Encik Mohd  Rizal Bin Man dan Encik Abdul Hannan Bin Khairul Anwar. Manakala moderator program ialah Puan Ayesha Ezanee, Pustakawan, Perpustakaan UTM KL.

Encik Mohd  Rizal Bin Man mengulas buku bertajuk Undang-undang Laut

Pengulas pertama Encik Mohd  Rizal Bin Man daripada Jabatan Perpustakaan UTM telah memilih buku Undang-undang Laut yang ditulis oleh Mariyam Salim. Buku ini merupakan senaskah undang-undang atau boleh dikategorikan sebagai “hukum” digunakan dalam pelayaran ketika zaman kemasyhuran kerajaan Melaka.  Merupakan hasil karya tulisan tangan tiga nakhoda dalam membuat garis panduan bagi undang-undang negeri Melaka ketika itu. Di dalamnya ada dinyatakan bahawa raja dan nakhoda akan bermesyuarat bagi menyelesaikan masalah serta hukum yang sesuai kepada pedagang-pedagang. Contohnya, pembahagian hasil dagangan. Sekitar tahun 1818, buku ini turut diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan menerima sambutan yang menggalakkan. Terbitnya buku ini mampu menyelesaikan masalah di laut tanpa perlu di bawa ke darat dan ia banyak dipengaruhi dengan unsur agama Islam selaras dengan syarak.

Encik Abdul Hannan Bin Khairul Anwar mengulas buku bertajuk Penawar Hati

Pengulas seterusnya Encik Abdul Hannan Bin Khairul Anwar dari Jabatan Harta Bina. Beliau memilih buku Penawar Hati yang ditulis oleh Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki (Ahmad Fahmi Bin Zamzam). Menurut beliau, buku ini merupakan himpunan perbuatan dan percakapan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Membaca buku ini ibarat menyediakan santapan rohani “Hati” kita. Ia merupakan tapak semaian iman, wadah fitrah, akal dan hikmah untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Pengulas memulakan dengan membacakan mukadimah penulis,  “Hati manusia adalah tempat pandangan Allah S.W.T . Ia merupakan tapak sebaik iman, tempat bertunas dan menjalar ke seluruh anggota badan. Dalam buku amalan yang merupakan bunga ataupun buah dengan apa yang telah ditanamkan ke dalam hati, hati manusia adalah tempat yang telah dipilih oleh Allah S.W.T sebagai wadah ataupun tempat bagi peka, akal dan hikmah. Oleh itu, hati nurani adalah sentiasa jujur dan benar walaupun terkadang mulut pandai berbohong dan tangan sesekali mengambil sesuatu yang haram. Hati manusia pula adalah ganjil bagi seluruh anggota badan. Ia merupakan sumber kelakuan dan tindakan. Apabila hati itu baik, maka akan baiklah seluruh angoota badan. Apabila hati itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota badan”. Menurut penulis, jelaslah di sini bahawa hati manusia memainkan peranan utama dalam diri setiap manusia. Hati yang baik, mampu mengawal anggota badan dan pemikirannya. Oleh itu, beliau berharap agar  himpunan ’40 hadis penawar hati”ini dapat membantu manusia dalam usaha ke arah melahirkan hati yang sihat, bersih dan sejahtera.

 

 

Share this :