Siri yang kedua program Read & Relax di Perpustakaan UTM Johor Bahru telah dijalankan pada 4 Februari 2021 dengan membawakan dua orang pengulas iaitu Puan Khairulbahiyah Binti Yaakub, Ketua Seksyen Perkhidmatan Maklumat & Penyelidikan daripada Jabatan Perpustakaan UTM Johor Bahru dan Encik Masnawi Bin Miskam, Pegawai Tadbir daripada Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), UTM Johor Bahru.


Pengulas pertama iaitu Puan Khairulbahiyah Binti Yaakub telah berkongsi sebuah buku yang bertajuk Kurma Daging Pujaan. Buku ini merupakan salah satu daripada lapan judul antologi di bawah projek penulisan Buku Kisah Hidup (BKH) – Legasi Emak yang menghimpun seramai 324 orang penulis di bawah seliaan penulis dan penerbit terkenal iaitu Puan Sri Diah Shaharuddin. Antologi ini merupakan apresiasi setiap penulis terhadap seorang insan mulia di sisi kita iaitu emak. Naskhah ini  bukan sekadar buku resipi biasa, tetapi turut merakamkan detik istimewa bersama para ibu yang akan menjadi kenangan sepanjang hayat. Resipi warisan keluarga yang dikongsi adalah simbolik kasih sayang seorang ibu kepada keluarga. Pengulas yang merupakan salah seorang penulis di dalam antologi ini turut berkongsi  resipi warisan keluarga iaitu Sambal Sumatera di bawah tajuk Bekalan Kasih Sayang Sang Ratu.. Penulis turut berkongsi kaedah penyediaan Sambal Sumatera yang merupakan bekalan kasih sayang ibunya setiap kali anka-anak pulang ke asrama. Di samping itu naskhah ini juga sarat dengan pesanan dan nasihat istimewa ibu, petua masakan serta kenangan  keluarga setiap penulis. Penulis juga menyatakan bahawa setiap cerita di dalam naskhah ini menyedarkan kita betapa kasih ibu itu tiada batasannya dan jasa mereka tidak akan terbalas sampai ke akhir hayat.

Puan Khairulbahiyah Binti Yaakub mengulas sebuah buku bertajuk Kurma Daging Pujaan

Pengulas kedua iaitu Encik Masnawi Bin Miskam pula telah berkongsi mengenai sebuah buku yang bertajuk Pengat Labu Kasih Sayang yang juga merupakan salah satu judul dalam antologi di bawah projek penulisan Buku Kisah Hidup (BKH) – Legasi Emak . Kesemua resipi yang dikongsikan oleh penulis termasuklah pengulas sendiri bukanlah semata-mata resipi. Sebaliknya, terselit kisah suka duka keluarga yang merupakan memori indah para penulis dengan ibu masing-masing. Seorang ibu sering dikaitkan dengan dapur dan masakan, Ajaibnya air tangan ibu melalui masakan ternyata memberi impak di dalam kehidupan penulis dan membuktikan eratnya hubungan seorang anak dan ibu. Pengulas turut berkongsi hasil  penulisan beliau yang bertajuk Srikandi Pasar Malam yang mengisahkan tentang ibunya yang merupakan seorang peniaga pasar malam yang gigih meniaga demi menyara hidup keluarga. Resipi keluarga yang dikongsikan pengulas di dalam buku ini ialah Pecal Jawa yang menjadi kegemaran pengulas. Pengulas berharap agar kisah ini dapat berkongsi mesej positif   kepada ahli keluarga beliau dan khalayak pembaca untuk terus menghargai jasa dan pengorbanan seorang insan hebat bergelar ibu.

Encik Masnawi Bin Miskam mengulas sebuah buku bertajuk Pengat Labu Kasih Sayang

Semoga perkongsian bahan bacaan ini memberi manfaat kepada pendengar. Di samping koleksi resipi istimewa warisan keluarga, pembaca turut disajikan dengan petua-petua nenek moyang kita yang wajar diketengahkan dan diabadikan sebagai panduan kepada generasi muda. Ia turut menitipkan nasihat serta pesanan melalui analogi yang mudah difahami.

 

 

 

Share this :