Program Bicara Karya bertajuk Mä Oon Rizal: Cikgu Malaysia di Finland telah berjaya dianjurkan pada 21 Februari, sekitar jam 4 petang secara langsung menerusi halaman Facebook Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia menggunakan aplikasi Streamyard. Program ini telah menampilkan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang merupakan penulis bagi mengulas lanjut mengenai naskhah coretan beliau iaitu Mä Oon Rizal: Cikgu Malaysia di Finland. Program berlangsung selama satu jam ini telah meraih jumlah tontonan sebanyak 2,600 tontonan dan menerima 248 jumlah komen daripada para penonton sehingga 22 Februari 2021.

Menariknya, program ini menghubungkan panel yang bermastautin jauh di bumi Ireland dan pada ketika program di jalankan waktu di sana adalah pada jam 8.00 pagi sementara waktu di Malaysia adalah pada jam 4.00 petang. Perpustakaan UTM amat berbesar hati dan menghargai kesungguhan dan komitmen panel dalam menjayakan program ini.


Buku terbitan Jejak Tarbiah ini telah diterbitkan pada tahun 2020 dan merupakan karya ke 20 sepanjang beliau menceburkan diri  dalam bidang penulisan. Buku bertemakan travelog ini banyak menceritakan mengenai pengalaman beliau bermastautin di Finland dan berkhidmat sebagai seorang guru di sana. Meskipun buku ini banyak menyentuh mengenai pendidikan di Finland, namun ianya tidak hanya mensasarkan golongan pendidik sebagai pembaca, malah terbuka kepada semua kerana penceritaan agak santai seolah-olah membawa pembaca merasakan pengalaman hidup di Finland.

Panel juga banyak berkongsi fakta-fakta menarik berkaitan sistem pendidikan di Finland dan membuka mata para penonton antaranya tiada anugerah guru cemerlang di Finland kerana semua guru adalah cemerlang selain kesamarataan tahap penilaian pencapaian pelajar serta banyak lagi. Justeru, penonton boleh mendapatkan buku ini bagi mendalami intipatinya.

Sesi perkongsian ini boleh ditonton semula di pautan berikut, klik >> https://www.facebook.com/perpustakaanuniversititeknologimalaysia/videos/425738508703956/ Pembelian buku dan karya-karya lain Ustaz Hasrizal, boleh didapati pautan ini, klik >> saifulislam.com/books

Share this :