Program perkongsian ilmu bertajuk Diet Pada Bulan Ramadhan telah berjaya dianjurkan pada 8 April 2021 dari jam 9.00 hingga 10.00 pagi. Topik ini  sangatlah bersesuaian  memandangkan umat Islam bakal menyambut kehadiran bulan Ramadhan pada minggu hadapan. Program anjuran bersama Kelab Rekreasi & Ukhwah UTM Pagoh, Perpustakaan UTM Pagoh dan Pusat Kesihatan UTM ini telah disiarkan secara langsung menerusi Facebook UTM Pagoh dan memperoleh sebanyak 260 jumlah tontonan. Sesi perkongsian ini telah disampaikan oleh Dr. Nor Atikah binti Abdul Razak, Pegawai Perubatan di Pusat Kesihatan Universiti, UTM.

Penceramah membuka bicara dengan perkongsian manfaat berpuasa kepada kesihatan. Terdapat lapan manfaat berpuasa iaitu membantu menurunkan berat badan, mengawal paras lemak dan kolesterol, meningkatkan fungsi otak dan kekuatan jantung, mengawal paras gula dalam darah, merangsang proses detoksifikasi tubuh dan meningkatkan imuniti badan. Penceramah juga ada memberi tips penyediaan juadah yang bersesuaian untuk dimakan sewaktu sahur, berbuka dan moreh.

Pada waktu sahur, penceramah menyarankan agar kita mengambil makanan yang tinggi serat kerana ianya dapat mengurangkan rasa lapar. Ketika waktu sahur juga kita perlu minum air secukupnya untuk membekalkan tenaga di sepanjang hari. Kita digalakkan untuk berbuka puasa dengan mengambil hidangan yang ringkas terlebih dahulu seperti buah kurma yang berupaya mengembalikan tenaga dengan segera. Ketika waktu moreh (makan lewat malam) pula, memadai dengan pengambilan snek ringkas sahaja seperti roti, biskut, sandwic atau kuih muih.

Sebelum mengakhiri sesi perkongsian, penceramah mengingatkan para penonton supaya menjaga pemakanan di bulan Ramadhan dan tidak makan secara berlebihan ketika berbuka puasa. Diet yang seimbang, pelbagai dan sederhana dapat menjamin kesihatan badan yang optimum.

Share this :