Bersempena dengan Hari Jom Baca 10 Minit pada 22 April 2021 (Khamis), telah diadakan Program Bicara Karya bertajuk Grab Blues: CEO Jadi Pemandu dengan panel jemputan iaitu Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. Manakala moderator adalah Puan Noor Ayesha Mohd Ezanee, Pustakawan, Jabatan Perpustakaan, UTM Kuala Lumpur (KL). Program diadakan secara langsung menerusi Facebook UTM Library Kuala Lumpur pada jam 2:30 petang.


Grab Blues: CEO Jadi Pemandu merupakan buku penulisan Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron sendiri yang menceritakan pengalaman beliau menjadi seorang Pemandu Grab dan juga CEO. Segala kisah dan kenangan suka duka mengharungi cabaran sepanjang menjalankan tugas dititipkan menerusi penulisan ini agar menjadi pedoman dan pembakar semangat kepada semua pembaca.

Penulis merupakan seorang CEO daripada sebuah syarikat dan atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan beliau kehilangan jawatannya. Berbekalkan semangat dan tekad yang tinggi, beliau tidak melepaskan peluang yang ada seterusnya pemandu Grab sebagai mata pencarian hidup kerana beliau percaya rezeki yang dikurnia Allah datang dalam pelbagai cara, bentuk dan keadaan. Tambahnya lagi, beliau tidak pernah diperlekehkan sebagai pemandu Grab walaupun terjadinya beberapa perkara  atau salah faham antara beliau dan penumpang dan ia langsung tidak mematahkan semangat untuk terus mara ke hadapan.


Dari aspek lain, Tuan Haji Mohd Khair menyatakan beliau turut berminat dalam bidang penulisan sejak zaman mudanya lagi dan bermula dengan hanya menulis surat. Turut dikongsikan adalah tips dan cara menulis di mana titik tolak kepada penulisan adalah idea dan pengolahannya. Selain itu, perkara utama ialah dengan mencatat apa sahaja yang dilakukan dalam kehidupan sehariannya kerana ia dapat membangkitkan serta mencetus sebuah karya. Antara nukilan yang dikongsikan beliau adalah “ Tidak semua peluang akan memberi ruang”. Paling utama ialah bersabar dan belajar menerima semua perkara seadanya serta hadapinya dengan tenang.

Di akhir program, beliau menyatakan pilihan ada ditangan setiap individu di mana setiap kejayaan mahupun kebahagian dapat dicapai berdasarkan kaedah yang digunakan atau usaha yang digembleng dalam mencorak dan menentukannya. Oleh itu, beliau berharap agar buku ini dapat memotivasikan serta pembaca positif terhadap apa jua yang dihadapi dan tidak mudah putus asa.

 

Share this :