Siri ke sebelas program Read & Relax Perpustakaan UTM Johor Bahru telah berlangsung pada 29 Julai 2021 dengan membawakan 2 orang pengulas iaitu Encik Mohd Shaifuddin Bin Mohamad, Penolong Pendaftar daripada Unit Dana Wakaf Pendidikan, Jabatan Timbalan Naib Canselor Pembangunan. Manakala pengulas kedua iaitu Puan Siti Noraziah Binti Satapah yang merupakan seorang Pengurus (Keusahawanan & Hubungan Strategik) di UTMXCITE, UTM iLeaGue, Jabatan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa.

Encik Mohd Shaifuddin Bin Mohamad mengulas sebuah buku bertajuk Why Mars and Venus Collide

Pengulas pertama iaitu Encik Mohd Shaifuddin Bin Mohamad telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Why Mars and Venus Collide oleh John Gray. Buku ini menyelami rahsia komunikasi antara seorang lelaki dan wanita. Dalam buku ini Mars merujuk kepada kaum lelaki manakala Venus adalah kaum wanita. Walaupun mempunyai perbezaan sifat yang ketara namun  ada persamaan yang boleh diraikan. Kewujudan perbezaan itulah yang menjadi asbab untuk keduanya saling melengkapi. Buku ini sarat dengan tips dan nasihat serta banyak menerangkan tentang perbezaan biologi dan emosi di antara lelaki dan wanita. Mereka dilahirkan berbeza dari segi hormon, tekanan, sifat, senarai tugas dan kebijaksanaan. Keupayaan untuk memanfaatkan perbezaan itulah sebenarnya yang mendekatkan dua hati. Namun jika tidak dapat dikawal dengan baik, perbezaan inilah yang menjadi penyebab renggangnya sebuah hubungan.


Antara petikan menarik oleh penulis, John Gray, ‘seperti wanita, lelaki juga memerlukan kasih sayang tetapi dengan cara yang berbeza’. Penulis buku ini membantu pembaca untuk memahami keunikan pasangan dengan kaedah yang lebih santai. Malah, penulis juga cuba mendedahkan perbezaan antara wanita dan lelaki bagi menghasilkan hubungan yang lebih mesra dan bahagia. Pengulas berpendapat buku ini bukan sahaja sesuai bagi pasangan yang telah berkahwin malah sesuai sebagai bacaan umum dan diparktikkan dalam ruang lingkup keluarga, rakan sekerja dan masyarakat. Penulis menekankan bahawa keharmonian akan wujud sekiranya perbezaan itu diraikan dan difahami sebaiknya.

Puan Siti Noraziah Binti Satapah mengulas buku bertajuk Projek Orkid – Masih Ada Yang Sayang

Pengulas seterusnya pula adalah Puan Siti Noraziah Binti Satapah yang berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Projek Orkid – Masih Ada Yang Sayang. Buku ini telah di selenggara oleh Norsa’adah Ahmad dan Noor Hayati Yasmin. Penyakit mental menjadi penyakit kedua tertinggi yang dialami oleh masyarakat Malaysia selepas penyakit jantung. Projek Orkid mengumpulkan kisah pemandiri (survivor) penyakit mental. Orkid yang melambangkan ketabahan dan kekuatan jiwa membawa simbol kepada kisah perjuangan pesakit mental yang terus berusaha untuk pulih. Ia merupakan perkongsian kepada masyarakat untuk lebih cakna berkenaan dunia psikiatri oleh mereka yang pakar.  Ini kerana kebanyakan mangsa adalah terdiri daripada mereka yang bersembunyi di sebalik penampilan dan perwatakan luaran yang normal namun tidak disebaliknya.


Pengulas berkongsi beberapa kisah yang memberi impak kepada dirinya yang mana pada bab terakhir diceritakan tentang kisah seorang pesakit mental yang perlu berpuasa sebelum menjalani pembedahan.  Namun begitu, rakan pesakit mental di wad tersebut turut berpuasa bersama-sama bagi memberi sokongan emosi sesama mereka. Ia bukanlah penyakit yang diminta. Tetapi stigma masyarakat terhadap mereka yang telah didiagnos membuatkan pesakit terus kuat dan menyokong di antara satu sama lain. “Jika kita merasakan ujian dan dugaan daripada Tuhan itu sebesar kapal, ingatlah rahmat dan nikmat daripada Tuhan seluas lautan”.

Share this :