Pada 3 Ogos 2021, telah diadakan Program Perkongsian Ilmu “SMART Belanja Dalam Norma Baharu” anjuran Perpustakaan UTM Kuala Lumpur sinergi bersama Persatuan Alumni UTM Kuala Lumpur. Program ini telah bersiaran lansung menerusi Facebook UTM Library Kuala Lumpur dan UTMAlumni selama 1 jam 45 minit bermula 10.00 pagi sehingga 11.45 pagi.

Moderator program  ialah Puan Sharifah Radhiah Binti Syed Azman dan telah menampilkan Puan Ieza Yusof atau lebih dikenali  sebagai “Mak Jerung” (MJ) yang merupakan seorang Mentor Kewangan, Penceramah, Usahawan serta Penulis Buku. Beliau berasal dari Kota Tinggi Johor dan merupakan alumni UTM Kuala Lumpur graduan tahun 2000.


Di awal perkenalan, MJ berkongsi tentang kesusahan yang dihadapi ketika beliau masih menyambung pelajaran di UTM dalam jurusan Diploma Perakaunan & Pengurusan Teknologi. Kesusahan yang dihadapinya dahulu telah membuatkan beliau ingin mengubah nasib keluarga, MJ tekad untuk bekerja dan tidak menyambung pengajian ke peringkat seterusnya.

MJ berkongsi beliau berasa bersyukur kerana kesusahan yang dilalui telah banyak mengajar MJ kembali bangkit untuk mengubah kehidupan dan ingin membahagiakan dan memberi kesenangan kepada keluarga  terutama ibunya.


Memulakan kerjayanya sebagai wakil insurans secara separuh masa pada tahun 2001 untuk menambah pendapatan, MJ juga telah melibatkan diri dalam pelbagai dunia perniagaan seperti “multilevel marketing” (MLM) , menjual tudung, menjual telefon bimbit dan sebagainya. MJ juga telah berjaya mendapatkan sijil profesionalnya di Malaysian Financial Planning Council (RFP) dan Syariah Registered Financial Planner (Shariah RFP)

MJ membuktikan beliau mampu membeli hartanah pertama ketika berusia 22 tahun. Namun dek kerana tiada ilmu yang mendalam dan masih muda , MJ menyatakan ianya tersilap langkah kerana membeli hartanah dari projek yang terbengkalai. MJ tidak berhenti disitu dan terus menggali ilmu dengan menyertai pelbagai kursus pengurusan kewangan dan hartanah.

MJ juga berkongsi beberapa kepingan keratan akhbar sebagai bukti dan fakta bahawa pengurusan kewangan dikalangan rakyat Malaysia adalah lemah. MJ juga menekankan konsep “BIG WHY“ dan “Grand WHY” dimana matlamat utama kekayaan adalah untuk membantu orang lain dan tidak hanya memikirkan untuk diri sendiri.

MJ menekankan langkah pertama untuk menjaga keberkatan rezeki itu bermula dengan refleksi diri. Ianya termasuk melunaskan hutang, menjaga hal ehwal ibubapa, menunaikan kewajipan berzakat, tanggungjawab nafkah, sedekah yang istiqamah serta berinfaq.


Selain itu, MJ juga telah berkongsi formula kewangan seperti menyenaraikan perbelanjaan yang perlu dilupuskan dan dikurangkan serta perbaiki aliran tunai melalui PEMULIH. Berpegang pada formula “Employee, Self Employed , Investor , Business Owner “ atau ESBI telah mengubah aliran tunai yang lebih kukuh dan positif.

Di akhir program, MJ berkongsi beberapa buku yang ditulis olehnya dan sebahagianya adalah jualan secara ebooks. MJ juga telah berjaya menghasilkan aplikasi iaitu “Financial Apps” dimana matlamat utamanya adalah mendidik rakyat Malaysia mengurus kewangan dengan rasa seronok mengikut formula MJ. MJ juga menasihati penonton agar menyusun dan menguruskan pendapatan dengan bijak supaya kehidupan pada norma baharu ini dapat dijalani dengan baik.

 

Share this :